Putrajaya beri jaminan tak naikkan cukai korporat

Putrajaya beri jaminan tak naikkan cukai korporat

Menteri kewangan berkata, kerajaan mungkin mengurangkan cukai korporat, jika kedudukan fiskal kerajaan bertambah baik.

Lim Guan Eng berkata, kerajaan mengekalkan kadar cukai korporat 24%, walaupun berdepan kedudukan fiskal lemah.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan memberi jaminan tidak akan menaikkan cukai korporat pada kadar 24% dalam tempoh terdekat, walaupun berdepan kedudukan fiskal lemah, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, kerajaan akan mengekalkan kadar sedia ada itu dan berpotensi dikurangkan jika kedudukan fiskal kerajaan bertambah baik.

“Saya rasa kadar cukai korporat boleh dikurangkan daripada 24%, tetapi ini tentu memerlukan masa,” katanya semasa berucap merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2018 di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah.

Lim berkata, kerajaan sedang memulihkan semula kedudukan kewangan kerajaan ke tahap baik, namun proses itu dijangka memerlukan masa.

“(Pemulihan kedudukan fiskal) ini bukan (dapat dicapai) dalam jangka pendek atau jangka sederhana.”

Bayaran balik GST, cukai pendapatan pada awal 2019

Dalam perkembangan lain, Lim berkata, kerajaan akan melaksanakan pembayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta cukai pendapatan berjumlah RM37 bilion kepada syarikat serta individu yang terlibat, mulai awal 2019.

“Jadi, boleh dikatakan perkara membabitkan pemulangan semula GST dan cukai pendapatan sudah selesai. Jangan buang masa bertanyakan soalan ini (di dalam seminar ini) kerana kerajaan menjamin akan membayarnya semula.

“Kerajaan tidak akan menggunakan walaupun ‘sekupang’ (10 sen) cukai yang dikutip daripada rakyat, tetapi akan pulangkannya.”

SPK adalah program pendidikan percukaian anjuran LHDN setiap tahun yang diadakan sebaik sahaja selesai pembentangan belanjawan tahunan kerajaan.

Penganjuran SPK 2018 adalah kali ke-36 sejak 1974 dan tahun ini, SPK akan diadakan di 24 lokasi di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.