PSM cadang negara Asean naikkan cukai korporat

PSM cadang negara Asean naikkan cukai korporat

Dr Michael Jeyakumar Devaraj mencadangkan FTA antara 10 negara Asean untuk meningkatkan cukai supaya kadarnya mencapai 30% dalam tempoh 10 tahun.

Cukai korporat Malaysia ketika ini adalah pada kadar 24%.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar Devaraj mencadangkan agar negara-negara Asean berpakat untuk secara beransur-ansur menaikkan kadar cukai korporat berbanding mengurangkannya.

Katanya, langkah itu boleh meningkatkan pendapatan 10 negara anggota kesatuan berkenaan.

Ketika ini, cukai korporat Malaysia adalah pada kadar 24%.

Jeyakumar berkata, Malaysia kini “berlumba” untuk mengurangkan cukai korporat terhadap keuntungan syarikat, dan negara Asean lain turut berbuat demikian dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing.

Katanya, pengurangan kadar cukai perlu dihentikan, dan ini akan mendorong negara lain mengikutinya untuk kekal berdaya saing.

“Jadi perlu ada satu perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara 10 negara ini untuk meningkatkan cukai supaya kadarnya mencapai 30% dalam tempoh 10 tahun.

“Jika kita boleh bersetuju dalam perkara ini, pendapatan negara Asean akan meningkat,” katanya dalam satu forum malam tadi.

Jeyakumar berkata, perjanjian seperti itu tidak menjejaskan daya saing mana-mana negara, dan akan membantu mengumpul permintaan.
“Inisiatif ini mempunyai banyak manfaat,” katanya.

Beliau turut mencadangkan satu tarif import bagi negara Asean yang gagal meningkatkan kadar cukai korporat mereka seperti yang terdapat dalam perjanjian yang dicadangkan itu.

Dalam isu berlainan, Jeyakumar mencadangkan kerajaan untuk meminjam bon dengan kadar faedah yang rendah.

Katanya, kerajaan boleh menjual bon kepada Bank Negara berbanding kepada pelabur swasta.

“Amalan ini dipanggil pengewangan hutang (debt monetisation),” katanya.

Amalan yang turut dirujuk sebagai pembiayaan monetari akan menyaksikan kerajaan meminjam wang daripada Bank Negara untuk menampung perbelanjaan awam berbanding menjual bon kepada sektor swasta atau menaikkan cukai.

“Banyak negara mengamalkannya,” jelasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.