
“Jika kita lihat cukai pendapatan korporat, ia memaparkan bahagian besar daripada hasil kerajaan persekutuan, iaitu kira-kira 32.8% termasuk cukai pendapatan petroleum dalam keadaan defisit fiskal yang makin meluas dan dianggarkan sekitar 6.5% tahun ini akibat pandemik Covid-19.
“(Oleh itu) saya percaya Malaysia pada masa ini tidak berada dalam kedudukan untuk mampu melaksanakan pengurangan kadar cukai berikutan salah satu masalah itu memberi kesan terhadap asas cukai.
“Hanya selepas kita dapat memperluas asas cukai dan mengekalkan trajektori pertumbuhan yang lebih kukuh berbanding purata, barulah kita boleh mempertimbang kemungkinan mengurangkan kadar cukai korporat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program temu bual dengan media Singapura, The Straits Times bertajuk: “Beyond the Pandemic: Malaysia’s Way Forward” secara maya malam tadi.
Mengulas lanjut, Zafrul berkata, bagaimanapun memandangkan trend global lebih berpihak kepada penurunan cukai korporat, Malaysia pada masa depan berkemungkinan perlu menyemak semula struktur cukai korporat agar selaras dengan pertumbuhan ekonomi lebih meluas dalam jangka pertengahan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan Malaysia mempertimbangkan langkah mengurangkan kadar cukai korporatnya kepada 15% dalam tempoh 3-5 tahun akan datang.
Cukai korporat Malaysia adalah antara yang tertinggi di ASEAN dan Singapura terendah pada 17% manakala Vietnam, Thailand serta Kemboja masing-masing pada 20% dan Indonesia pada 22%.