Penjimatan cukai RM300 hingga RM1,300 untuk kumpulan pendapatan pertengahan

Penjimatan cukai RM300 hingga RM1,300 untuk kumpulan pendapatan pertengahan

Kerajaan cadang pengurangan kadar cukai pendapatan individu sebanyak 2.0%, melibatkan pendapatan bercukai lebih RM35,000 hingga RM100,000 setahun.

Lebihan wang daripada pengurangan kadar cukai akan kembali ke ekonomi apabila dibelanjakan, kata pakar.
PETALING JAYA:
Individu yang memperoleh pendapatan bercukai lebih RM35,000 hingga RM100,000 setahun dijangka menikmati penjimatan antara RM300 hingga RM1,300, menurut pakar percukaian.

Sim Kwang Gek di firma perakaunan Deloitte Malaysia berkata, impak ke atas kutipan hasil sekiranya pengurangan kadar cukai pendapatan individu bagi kumpulan pendapatan pertengahan itu dilaksanakan dijangka minimum.

Sebaliknya, lebihan wang itu akan kembali ke ekonomi apabila dibelanjakan, kata ketua percukaian itu, menurut Bernama.

Pengurangan kadar cukai pendapatan individu pemastautin itu dicadangkan dalam Belanjawan 2023 baharu yang dibentangkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim petang tadi, melibatkan banjaran (range) pendapatan bercukai lebih RM35,000 hingga RM100,000.

Sim berkata, pengurangan itu akan membawa kepada penjimatan cukai sebanyak:

  • RM300 bagi individu berpendapatan RM35,001 hingga RM50,000;
  • RM700 bagi individu berpendapatan RM50,001 hingga RM70,000; dan
  • RM1,300 bagi individu berpendapatan RM70,001 hingga RM100,000.

Dalam pada itu, Sim menjangkakan kutipan hasil cukai kerajaan meningkat 4% tahun ini ekoran kenaikan kadar cukai golongan kaya, sekiranya cukai barangan mewah dan program pengakuan secara sukarela merangkumi cukai langsung dan tidak langsung dilaksanakan.

Katanya, pengampunan ke atas penalti 100% untuk mereka yang membuat pengakuan sukarela dari 23 Jun hingga 31 Mei tahun depan akan meningkatkan kutipan hasil kerajaan.

Tambahnya, pengampunan “penalti penuh 100% itu jauh lebih menarik berbanding program yang diperkenalkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum ini yang mengenakan penalti 10% atau 15% ke atas cukai yang bergantung kepada bila pengakuan itu dibuat”.

Sementara itu, cadangan memperkenalkan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun depan menunjukkan kerajaan mengambil pendekatan berperingkat, sebelum melaksanakannya secara menyeluruh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.