
Wee berkata kadar 24% disifatkan antara yang tertinggi di rantau ini berbanding negara jiran, Indonesia (21%) Singapura (17%), Brunei (18.5%) dan Kemboja serta Thailand masing-masing 20%.
Dakwanya, pemansuhan GST lima tahun lalu menjadi punca kenaikan cukai korporat menyebabkan syarikat asing enggan membuka perniagaan di Malaysia.
“Malaysia akan menjadi negara kurang daya tarikan untuk syarikat gergasi antarabangsa menubuhkan ibu pejabat serantau di sini.
“Dulu kita laksanakan GST supaya kita dapat turunkan lagi cukai korporat untuk menghampiri Singapura dan mampu bersaing dengan negara jiran untuk mendapatkan lebih banyak pelaburan asing,” katanya di Dewan Rakyat.
Justeru itu, Wee mencadangkan kerajaan mengembalikan semula GST yang disifatkannya lebih cekap, namun mengakui pelaksanaannya mungkin perlu diperbaiki termasuk mengurangkan jumlah cukai .
“Kalau tak suka nama, tukarlah nama, pakailah apa nama (lain) dan lupakan kisah lama… kita masih boleh bagi pemberian tunai, kita boleh ‘zero rated’, kita boleh bagi pengecualian, kita turunkan daripada 6% kepada 4%, serta memperbaiki mekanisme untuk pulangan cukai.
“Saya rasa kita boleh buat, dan demi kepentingan negara ‘move on’, bawa balik GST,” katanya.