Korea Selatan rancang jual aset milik negara

Korea Selatan rancang jual aset milik negara

Rancangan menjual tanah dan bangunan terbiar milik kerajaan itu sebagai usaha meningkatkan kewangan negara.

Korea Selatan mengalami defisit fiskal akibat peningkatan perbelanjaan kerajaan ketika menangani wabak pandemik Covid-19.(Gambar AP)
SEOUL:
Korea Selatan merancang untuk menjual tanah dan bangunan terbiar milik kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang dalam usaha meningkatkan kewangan negara, menurut kementerian kewangan pada Isnin.

Kerajaan memaklumkan ia merancang untuk menjual aset bernilai sekurang-kurangnya 16 trilion won (USD$12.3 bilion) pada tahun-tahun mendatang, lapor Yonhap.

Nilai tanah dan bangunan milik kerajaan mencecah 701 trilion won pada akhir 2021, dan kira-kira 41 trilion won, atau 6% daripada jumlah keseluruhan tersedia untuk dilupuskan, menurut kementerian itu.

Hasilnya akan digunakan untuk menampung perbelanjaan negara susulan Korea Selatan mengalami defisit fiskal akibat peningkatan perbelanjaan kerajaan ketika menangani wabak pandemik Covid-19.

Defisit fiskal Korea Selatan meningkat 22.7 trilion won dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding setahun lalu, menurut kementerian itu.

Pelan pengurangan cukai menyeluruh kerajaan juga berkemungkinan memberi kesan kepada fiskal, kerana negara berhasrat menurunkan cukai korporat, pendapatan dan hartanah untuk merangsang pelaburan dan mengurangkan beban cukai ke atas mereka yang menghadapi masalah kerana kadar inflasi yang tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.