
Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, walaupun semua pesara menikmati kenaikan pencen 2% setiap tahun, bayaran diterima pesara dahulu jauh lebih rendah daripada anggota tentera yang bersara selepas 2000, iaitu melebihi 100% kenaikan.
Katanya, beliau tidak mempersoalkan kadar pencen bagi pesara sekarang kerana ia sesuai dengan peredaran masa dan jumlah gaji yang diterima.
“Kami yang lama-lama ini, pencen zaman 70-an, 80-an dan 90-an ketinggalan dari segi jumlahnya, itulah yang selalu veteran bising dan bangkitkan. Ini perkara yang perlu dipertimbangkan, benda ini sudah diluahkan pelbagai persatuan veteran.
“Saya juga dimaklumkan ada yang pencennya hampir RM3,000. Dulu tak begini, kami dapat ratusan ringgit sahaja dan sekarang meningkat sampai 100%. Bagi kami, bayar lebih itu tidak ada masalah, tetapi yang pencen dulu itu perlu ditambah sikit.”
“Kalau nak selaraskan jumlah pencen zaman dulu dengan sekarang mungkin susah dan mustahil boleh dibuat sebab zaman berbeza dan kita faham kerajaan hadapi kekangan kewangan dan perlu lihat perkara lain juga, bukan hanya tertumpu kepada veteran sahaja,” katanya kepada FMT.
Negara mempunyai lebih 200,000 pesara tentera ketika ini.
Puas hati layanan kebajikan kepada veteran
Arshad berkata, majoriti veteran tentera berpuas hati dengan layanan kerajaan, khususnya dari segi kebajian yang diuruskan Jabatan Hal Ehwal Veteran sejak dahulu lagi.
“Kebajian terbaik, penyediaan rawatan perubatan baik dan masalah-masalah lain berkaitan kebajikan yang diurus Jabatan Hal Ehwal Veteran itu sangat bagus, kami puas hati,” katanya sambil memaklumkan kebajikan isteri veteran tentera juga terjamin.
Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan dapat memberi peruntukan lebih banyak kepada Kementerian Pertahanan demi melindungi keselamatan negara.
“Kalau tentera tidak diberi peruntukan sepenuhnya, ia akan melemahkan semangat tentera dan juga membantutkan usaha mereka menjalankan tugas menjaga keselamatan negara.
“Memang kita akui ATM tidak mendatangkan pendapatan kepada negara, kami hanya habiskan duit kerajaan.
“Tetapi, apa yang kami boleh buat sebagai tentera ialah memastikan keselamatan negara terjamin, bila negara selamat, pelabur-pelabur luar berani datang dan ia boleh membantu meningkatkan hasil pendapatan negara, itu kelebihan kami ada.”