Bagaimana rakyat Malaysia semakin menua, simpanan menyusut

Bagaimana rakyat Malaysia semakin menua, simpanan menyusut

Malaysia memerlukan pembaharuan kerana peningkatan jangka hayat dan asas cukai yang mengecil mengancam kemampanan skim pencen sedia ada.

malay melayu family keluarga
Peningkatan purata jangka hayat memaksa generasi muda menanggung beban menyara golongan warga emas untuk tempoh lebih lama. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Kebimbangan terhadap persediaan persaraan semakin meningkat, hanya tiga tahun selepas kali pertama kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan wang simpanan bagi menghadapi kehilangan pekerjaan ketika pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ahmad Zulqarnain Onn, menegaskan kepentingan mengambil tindakan segera bagi memastikan rakyat bersedia dari segi kewangan dan sosial untuk jangka hayat yang lebih panjang.

Setiap unjuran kini menunjukkan jangka hayat boleh mencapai 81 tahun menjelang 2050, hanya 25 tahun dari sekarang.

Dengan populasi semakin menua dan penurunan kadar kelahiran menyebabkan asas cukai semakin mengecil, kebimbangan pesara mungkin tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menyara kehidupan pada masa depan semakin meningkat.

FMT menyingkap cabaran semakin meningkat mengenai kemampuan persaraan di Malaysia dan bagaimana pembaharuan yang berpotensi mampu menjamin masa depan kewangan pekerja.

Sistem simpanan persaraan di Malaysia

Mekanisme utama persaraan di Malaysia adalah KWSP iaitu skim caruman tertakrif (defined contribution-DC) di mana sumbangan individu dan majikan, bersama pulangan pelaburan yang membentuk simpanan persaraan pekerja.

Skim pencen manfaat tertakrif (defined benefit-DB) adalah pembayaran bulanan berdasarkan gaji akhir dan tempoh perkhidmatan masih berkuat kuasa bagi penjawat awam.

Walaupun model DB selamat untuk penerima manfaat, ia membebankan kewangan awam dengan kos jangka panjang besar. Sebaliknya, pendekatan DC semakin dianggap lebih mampan di seluruh dunia kerana ia mengalihkan risiko pelaburan dan jangka hayat daripada kerajaan, memberikan individu kawalan lebih baik serta kebolehalihan, dan mengurangkan cabaran dalam pengurusan fiskal.

Kesan pengeluaran KWSP ketika Covid-19

Ketidaktentuan ekonomi dalam beberapa tahun kebelakangan ini menguji ketahanan model DC.

Lebih 8.1 juta pencarum KWSP mengeluarkan lebih RM145 bilion daripada simpanan mereka sepanjang pandemik, kebanyakannya bagi mengimbangi kehilangan pekerjaan atau melunaskan hutang.

Ramai yang hampir atau telah menghabiskan sepenuhnya simpanan, dengan separuh daripada mereka berusia 55 tahun dan ke bawah hanya tinggal kurang RM10,000. Baki median kini hanya RM10,898.

Peningkatan jangka hayat

Kebimbangan ini semakin meningkat dengan hakikat rakyat Malaysia kini hidup lebih lama. Purata jangka hayat lelaki kini adalah 74.8 tahun dan wanita 78.9 tahun, berbanding 68.7 tahun (lelaki) dan 73.4 tahun (wanita) pada 1990.

Jika seseorang bersara pada usia 60 tahun dan memerlukan kira-kira RM1,500 sebulan untuk hidup selesa, dia perlu sekurang-kurangnya RM360,000 simpanan untuk bertahan hingga dua dekad.

Bagaimanapun, setakat 2023 hampir 74% ahli aktif KWSP mempunyai kurang RM100,000 dalam simpanan iaitu tidak cukup untuk menampung kehidupan selama lima hingga enam tahun – tanpa mengambil kira peningkatan kos penjagaan kesihatan dan warga emas.

Cabaran demografi dan fiskal

Seiring penurunan kadar kelahiran, asas cukai juga mengecil sekali gus menjadikan skim pencen DB tidak lagi mampan untuk diteruskan.

Nisbah cukai kepada KDNK Malaysia pada 2023 hanya 12.6%, jauh lebih rendah berbanding purata Asia Pasifik (19.3%) dan OECD (34%).

Pada masa sama, kadar kelahiran hidup negara menurun 10.2% kepada 100,732 pada suku kedua 2024 berbanding tempoh sama sebelumnya, menurut data Jabatan Perangkaan.

Jika trend ini berterusan, akan ada lebih sedikit pembayar cukai dan pencarum KWSP pada masa depan, sekali gus memperlahankan pertumbuhan dana ketika bilangan pesara semakin bertambah.

Sebaliknya, negara yang mempunyai skim pencen DB mampu menampung pesara kerana mereka mengutip cukai lebih tinggi dan membina rizab yang besar.

Malaysia pula mempunyai hasil cukai yang terhad dan rizab lebih kecil, menjadikannya mustahil untuk menyokong sistem pencen berasaskan cukai sepenuhnya tanpa pembaharuan besar.

Penyelesaian berpotensi

Bagi mengelakkan risiko kehabisan simpanan persaraan, Malaysia perlu meningkatkan literasi kewangan, memperkukuh insentif simpanan, membina jaringan keselamatan sosial dan menubuhkan kemudahan penjagaan warga emas yang bersepadu untuk menyokong populasi semakin menua.

Memperkenalkan skim pencen hibrid boleh mengembalikan beberapa manfaat skim DB terdahulu sambil mengekalkan kemampanan.

Dalam rangka kerja ini, pekerja akan terus mencarum ke dalam akaun KWSP mereka; namun, apabila bersara hanya sebahagian simpanan boleh dikeluarkan sekali gus manakala baki selebihnya dibayar secara bulanan sepanjang hayat.

Aturan ini sedikit-sebanyak mengembalikan ciri perlindungan skim pencen penjawat awam — pendapatan minimum sepanjang hayat yang dijamin — sambil mengelakkan beban fiskal daripada model dibiayai sepenuhnya melalui cukai.

CPF Life Singapura boleh dijadikan contoh relevan, yang mana ia menggabungkan simpanan peribadi dengan pembayaran sepanjang hayat bagi mengelakkan pesara kehabisan sumber kewangan.

Pembaharuan hibrid dicadangkan ini dilihat berpotensi untuk memastikan pesara dapat mengekalkan taraf hidup asas walaupun simpanan individu habis.

Selain itu, inisiatif yang bertujuan memperkukuh pendidikan kewangan dan memudahkan penambahan simpanan KWSP — sama ada melalui padanan caruman, insentif cukai atau program sukarela — boleh membantu memulih dan meningkatkan simpanan persaraan dengan berkesan.

Keperluan untuk pembaharuan menyeluruh semakin mendesak. Dengan menggabungkan tanggungjawab individu bersama sokongan antara generasi, Malaysia boleh membantu memastikan pekerja hari ini tidak menjadi pesara yang terdedah kepada masalah kewangan pada masa depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.