
Ingat tak Mei lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mencadangkan kerajaan mempertimbang menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun? Jika ingat anda okey-masih cerdas dan cergas. Boleh terus bekerja. Tak perlu bersara.
Kata Azalina ketika melontar cadangannya adalah satu kerugian seseorang diwajibkan bersara pada usia 60 tahun sedangkan mereka masih bertenaga dan produktif (cerdas dan cergas menurut saya), dan berupaya menyumbang kepada tenaga kerja. Cukup sampai itu meskipun ada lagi hujahnya.
Tetapi, kata Azalina cadangan bersara 65 ‘sekadar pandangan peribadi’ beliau. Pun begitu beberapa hari kemudian wartawan yang membuat liputan satu majlis dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan mendapatkan pandangan terhadap cadangan Azalina.
Kata Anwar, cadangan itu wajar diberi perhatian dan pertimbangan. “Biar agensi terbabit (membincangkan) soal peluang pekerjaan, kos dan sebagainya”. Benar. Memang banyak implikasi dan kesan mesti dikaji terlebih dahulu. Seribu satu persoalan – baik buruknya, yang mesti dijawab.
Dua bulan berlalu apakah hasil perbincangan dan kajian dilakukan ‘agensi terbabit’ yang dikatakan Anwar? Diakui perkara sepenting ini memerlukan kajian terperinci yang ambil masa panjang. Lantas mungkin dua bulan terlalu awal untuk tanya apa yang saya tanya?
Namun, harapannya ialah ada perkembangan sedikit-sebanyak. Yang tidak mahu dilihat ialah tidak ada apa yang boleh dilihat. Ertinya tidak ada apa yang bergerak. Cadangan Azalina walaupun cadangan peribadi diharap tidak dibiar tinggal cadangan. Mungkin ada eloknya jika Azalina sendiri buat ‘follow up’ – bertanya status perbincangan, penelitian dan kajian. Dikatakan sekali lagi memang banyak implikasi dan kesan.
Pada pandangan saya tidak boleh dinafikan dalam kalangan kita yang ‘struggle’ untuk menyara diri dan keluarga setelah bersara. Saya bercakap mengenai golongan yang tidak punya pencen bulanan (kalau ada pun pencen jumlahnya tidak besar). Tidak ada wang simpanan. Kalau ada tidaklah besar mana pun. Dan wang KWSP lenyap sekelip mata. Tetapi realitinya mereka mesti ‘carry on’.
Ditegaskan, jangka hayat rakyat Malaysia adalah sekitar 76.58 tahun menjadikannya ketiga tertinggi di Asia. Amnya jangka hayat lelaki ialah 73 tahun manakala wanita 78.
Yang bersara tetapi masih sihat – ada yang terpaksa bekerja sambilan. Itu pun jika bernasib dapat kerja. Tetapi diberi gaji kecil meskipun boleh bekerja dengan baik. Ada majikan anggap mereka ‘doing the old folks a favour’ dengan memberi si warga emas peluang bekerja.
Tetapi, satu lagi aspek ialah jika pekerja tua yang ada ‘pangkat’ diizin kekal si pekerja muda pula tidak ada peluang untuk naik pangkat kerana tidak ada kekosongan terjadi. Inilah antara sebab kajian teliti amat penting.
Di Malaysia umur persaraan wajib bagi kakitangan kerajaan ditetapkan pada 60 tahun. Ia juga merupakan umur persaraan minimum bagi pekerja sektor swasta menurut Akta Umur Persaraan Minimum 2012.
Semasa Azalina membuat cadangannya Pemuda Amanah menyifatkan cadangan melanjutkan usia persaraan wajib ‘bercanggah dengan realiti ekonomi dan sosial negara’ (sesiapa yang berminat tahu apa maksud beliau bolehlah Google). Lantas Ketuanya Danial Al Rashid Haron menggesa Azalina mempertimbang memperkenalkan semula umur 55 tahun sebagai had persaraan. Saranan beliau tidak disetujui pelbagai pihak tetapi seperti dijangka golongan muda menyokong. Ini berdasarkan hasil satu ‘kaji selidik’ rambang oleh akhbar The Star.
Apa pun Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank Malaysia atau NUBE antara yang menyambut baik cadangan Azalina. Kata Setiausaha Agung J Solomon menaikkan usia persaraan wajib turut membawa keuntungan untuk bank.
Menurutnya, di AS dan Kanada usia persaraan ialah 65 tahun manakala Australia 67 tahun. “65 is the new 60 for retirement,” katanya.
Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran juga menyokong cadangan Azalina. Namun, katanya ia perlu dilaksanakan secara berperingkat memandangkan ia memerlukan pendekatan seimbang dan menyeluruh.
“Perbincangan mengenai umur persaraan wajib di Malaysia adalah amat penting kerana ia memberi kesan langsung terhadap landskap ekonomi negara, kesejahteraan warga emas dan prospek pekerjaan untuk generasi muda,” katanya dipetik Malaysiakini 26 Mei lalu.
Saya setuju. Oleh itu saya ulang tanya – apa status kajian dijalankan oleh ‘agensi terbabit’ yang disebut Anwar dua bulan lalu? Juga saya ulangi Azalina wajar bertanya status kajian setakat ini. Lontar cadangan mesti diikuti ‘follow up’.
Kata Dr Mahathir Mohamad semasa menyambut hari lahirnya yang ke-100 tempoh hari – antara petua sihat dan cergas beliau ialah ‘pemikiran’ kita. “Kalau kita tak banyak berfikir kebolehan otak kita akan berkurangan. Kita kena aktif tubuh badan dan akal fikiran walaupun kita sudah berumur”.
Ada lagi kata beliau: “Jadi, kalau kita bercakap dengan orang, berbahas, menulis, membaca, itu semua mengaktifkan otak kita barulah otak kita mampu kekal aktif.”
Ertinya jangan banyak rehat – terus bekerja. Itu sebab beliau pergi ke pejabat setiap hari. Mahathir bernasib baik kerana masih ada pejabat atau tempat kerja untuk dituju. Mahathir tidak pencen walaupun pencen.
Presiden PAS Hadi Awang sekarang berusia 77 tahun. Kata beliau pula: “Saya kalau boleh nak mati dalam bertugas”.
Jika berpandukan Mahathir dan Hadi tidak ada had usia bersara wajib, tetapi mereka bukanlah pekerja biasa.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.