
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata langkah itu wajar kerana ia mampu memberikan fleksibiliti kepada pencarum untuk memilih kaedah pencen persaraan atau pengeluaran sekali gus.
“Saya percaya mungkin ada sesi libat urus bagi mendapatkan respons daripada pemegang taruh bagi mendapatkan suatu penyelesaian lebih tuntas,” katanya kepada FMT.
Menerusi dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK), kerajaan rancang untuk meneroka satu mekanisme lebih baik bagi menjamin pendapatan berterusan selepas bersara, memandangkan simpanan persaraan yang mencukupi penting bagi menjamin kebajikan pekerja pada usia tua.

Mekanisme itu membolehkan pengasingan caruman KWSP kepada dua komponen iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan.
Selain itu, kerajaan berkata melalui usaha itu tersebut golongan pekerja akan dapat mengeluarkan sebahagian daripada simpanan, selain menerima pencen bulanan pada umur persaraan.

Sementara itu, pakar perunding kewangan Azizul Azli Ahmad berkata langkah diambil kerajaan adalah tepat bagi mewujudkan kawalan lebih baik terhadap tabiat berbelanja selepas bersara.
“Ramai yang mencarum menghabiskan wang dengan waktu yang cepat. Jadi, mekanisme ini dapat melindungi kita daripada duit habis terlalu awal…terutama orang yang tak boleh kawal diri,” katanya.
Katanya, langkah kombinasi simpanan dan bayaran pencen bulanan sudah dilaksanakan di beberapa negara maju seperti Australia, Singapura, New Zealand.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School pula berkata, cadangan sedang dipertimbangkan kerajaan penting untuk menjamin kualiti hidup memandangkan majoriti tidak akan mempunyai simpanan mencukupi apabila bersara.
“Ini akan memastikan pesara dapat menikmati kualiti hidup bermaruah selepas bersara dan kerajaan tidak akan terbeban dengan kos kesihatan dan kebajikan yang lebih tinggi, lebih-lebih lagi apabila menuju ke arah negara menua,” katanya.