Laksana pencen sukarela selepas umur 60, kerajaan diberitahu

Laksana pencen sukarela selepas umur 60, kerajaan diberitahu

Persatuan berkata ramai pekerja senior masih produktif dan ada kemahiran tinggi sukar diganti terutama dalam sektor PKS yang bergantung kepada pengalaman praktikal.

penjawat awam
Persaraan wajib bagi penjawat awam ketika ini ditetapkan pada usia 60 tahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) mengesyorkan kerajaan mengamalkan dasar sukarela dengan membenarkan pekerja memilih untuk terus bekerja atau tidak selepas usia 60 tahun.

Presiden William Ng berkata, dasar itu juga bergantung kepada industri dan keupayaan invidivu, mengambil kira keseimbangan antara keperluan pekerja berpengalaman dan peluang pekerjaan untuk generasi muda.

Katanya, ramai pekerja senior masih produktif dan mempunyai kemahiran tinggi sukar diganti, terutama dalam sektor PKS yang bergantung kepada pengalaman praktikal.

“Kami menyarankan kerajaan mempertimbangkan pendekatan lebih fleksibel, contohnya membenarkan pekerja terus bekerja selepas 60 tahun atas dasar sukarela atau kontrak, bergantung kepada industri dan keupayaan individu,” katanya kepada FMT.

Namun, beliau tidak menolak menaikkan had umur persaraan secara umum boleh mengehadkan peluang pekerjaan baharu, menambah kos operasi dan menjejaskan produktiviti dalam sektor tertentu yang memerlukan tenaga fizikal.

Ng juga khuatir meningkatkan umur persaraan boleh melambatkan peremajaan tenaga kerja dan inovasi dalam kalangan syarikat PKS.

“Apa jua keputusan, penting agar suara PKS turut diambil kira memandangkan sektor ini menyumbang lebih 47% kepada guna tenaga negara,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) berkata kerajaan akan meneliti had umur persaraan wajib 60 tahun, untuk disesuaikan dengan peralihan menjadi negara tua.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan pada 2022, Malaysia dijangka menjadi negara tua pada 2030 apabila 15.3% penduduk negara ini berusia lebih 60 tahun.

Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mencadangkan kerajaan mempertimbang menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 tahun kepada 65 tahun.

Azalina yang menyuarakan pandangan peribadinya berkata adalah satu kerugian apabila individu diwajibkan bersara pada usia 60 tahun sedangkan mereka masih bertenaga dan produktif serta berupaya menyumbang kepada tenaga kerja.

Beliau berkata, beberapa negara termasuk anggota Asean yang dilawati ada yang masih berkhidmat hingga usia 70-an, dan hakim dibenarkan kekal dalam jawatan hingga umur 65 atau 70 tahun.

Di Malaysia, persaraan wajib bagi penjawat awam ketika ini ditetapkan pada usia 60 tahun. Ia juga usia persaraan minimum bagi pekerja sektor swasta bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.