Bajet 2019: Kerajaan perlu kekalkan peruntukan untuk ubat-ubatan

Bajet 2019: Kerajaan perlu kekalkan peruntukan untuk ubat-ubatan

Negara tidak mampu menampung pengurangan peruntukan bekalan ubat-ubatan kerana pergantungan tinggi populasi Malaysia pada sistem perubatan awam.

Lebih 70% daripada pesakit di negara ini melibatkan penyakit tidak berjangkit dan kebanyakannya dirawat di hospital kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan diharapkan mengekalkan peruntukan sebanyak RM4.1 bilion dalam Bajet 2019 membabitkan perbekalan ubat-ubatan, barangan habis guna, vaksin dan reagen, sama seperti Bajet 2018 lepas walaupun keadaan kewangan kerajaan yang “gawat”.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, pengekalan peruntukan itu di bawah Kementerian Kesihatan merupakan senario terbaik, walaupun ia sebenarnya perlu ditingkatkan kepada RM6 bilion.

“Kita tidak mampu menampung pengurangan peruntukan bagi bekalan ubat-ubatan disebabkan keperluan dan pergantungan populasi Malaysia yang tinggi terhadap sistem perubatan awam.

“Lebih 70% daripada pesakit di negara ini menggunakan sistem perubatan awam. Beban penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung, diabetes dan kanser memberikan tekanan yang serius terhadap penggunaan ubat dan rawatan,” katanya kepada FMT.

Jumaat ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan membentangkan Bajet 2019.

Tahun lalu, semasa Bajet 2018, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4.1 bilion untuk membekalkan ubat dan barang habis pakai ke semua hospital dan kemudahan kerajaan.

Mengulas lanjut, Azrul berkata, 70% daripada pesakit di negara ini melibatkan penyakit tidak berjangkit dan kebanyakannya dirawat di hospital kerajaan.

“Pengurangan peruntukan untuk ubat-ubatan akan memberi kesan buruk kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang mempunyai daya tahan lebih rendah untuk menampung beban kos ubat-ubatan dan rawatan tanpa subsidi kerajaan.

“Lebih 98% daripada kos perubatan, termasuklah kos ubat di fasiliti perubatan awam disubsidi oleh kerajaan melalui peruntukan ini,” katanya.

Menurut Azrul, pengurangan peruntukan akan memaksa pesakit B40 membeli bekalan ubat-ubatan daripada farmasi swasta yang mungkin lebih mahal.

Pada 24 Oktober lalu, media melaporkan Kementerian Kesihatan memohon peruntukan mengurus dan pembangunan sebanyak RM30 bilion bagi Bajet 2019.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata peruntukan itu ialah 2.01% daripada anggaran keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.