
Daerah terbabit adalah Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin berkata program itu akan bermula minggu depan, membabitkan kira-kira 12,500 murid dengan peruntukan RM1 juta.

Katanya, program itu menumpukan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah supaya mereka mendapat perlindungan awal terhadap jangkitan influenza yang mudah merebak dalam komuniti.
“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menyarankan murid berumur lapan tahun dan ke bawah menerima dua dos vaksin bagi memastikan imunisasi lebih optimum, kecuali yang telah pernah menerimanya sebelum ini,” katanya satu kenyataan.
Jamaliah berkata usaha itu selari komitmen kerajaan Selangor dalam memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan B40 dan kanak-kanak berisiko tinggi, sentiasa diberi keutamaan.
“Program itu bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, tetapi membantu meningkatkan tahap kesihatan dan kehadiran anak-anak ke sekolah,” katanya sambil menyeru ibu bapa yang layak untuk segera mendaftar.
Program vaksinasi itu akan dijalankan melalui dua kaedah utama iaitu program outreach di sekolah yang mempunyai Pusat Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Melalui kaedah ini, pasukan vaksinasi akan digerakkan ke sekolah terlibat untuk memberi suntikan kepada kira-kira 4,720 murid B40 berusia lapan tahun ke bawah.
Kerajaan Negeri melalui Selcare Management Sdn Bhd akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, pentadbiran sekolah dan pusat khidmat masyarakat bagi melancarkan pelaksanaan program outreach itu.
Kaedah kedua pula membabitkan pemberian vaksin secara walk-in di Klinik Selcare dan klinik panel terpilih bagi kanak-kanak B40 yang mempunyai penyakit kronik tetapi tidak bersekolah di PPKI.
Pendaftaran dan pengesahan status perlu dibuat melalui aplikasi SELangkah sebelum hadir ke klinik.