Komander agensi penguatkuasaan ditahan rompak sotong, wang tunai

Komander agensi penguatkuasaan ditahan rompak sotong, wang tunai

Polis berkata, abang kepada suspek utama yang merupakan guru di Bentong dan adiknya yang bekerja sebagai pembantu am rendah di sebuah agensi berkaitan kelapa sawit turut ditahan.

Tiga beradik bersama 2 lagi anak-beranak turut ditahan kerana disyaki menyamun tekong bot warga Vietnam. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Polis menahan seorang pegawai agensi penguatkuasaan berpangkat komander yang dipercayai menjadi dalang dalam rompakan satu tan sotong dan wang tunai daripada tekong bot warganegara Vietnam di perairan Rompin, dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Azli Mohd Noor berkata suspek berusia 30 tahun yang bertugas di Kemaman, Terengganu itu ditahan bersama 2 beradiknya dan 2 beranak yang disyaki turut terlibat dalam jenayah tersebut.

Katanya, abang kepada suspek utama berusia 31 tahun ialah seorang guru di Bentong, manakala adiknya yang berusia 28 tahun bekerja sebagai pembantu am rendah di sebuah agensi berkaitan kelapa sawit.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, 2 lagi suspek ialah nelayan berusia 20 tahun dan bapanya berumur 56 tahun.

“Mereka disyaki terlibat dalam kegiatan samun yang melibatkan tekong bot Vietnam yang dikatakan telah menghubungi pemilik bot itu pada 3.14 pagi, Rabu lalu, bagi memaklumkan seorang lelaki meminta wang tunai RM10,000 sebagai balasan untuk tidak diganggu.

“Pemilik bot yang merupakan rakyat tempatan kemudian diberitahu bot itu ditahan 5 lelaki yang menaiki bot fiber memperkenalkan diri sebagai anggota penguatkuasaan dari Mersing semasa berada di perairan Rompin.

“Tekong bot itu mendakwa salah seorang suspek mengacukan pistol ke arahnya dan dadanya ditumbuk bertubi-tubi, sebelum suspek beredar dengan 1 tan sotong daripada bot tersebut.”

Azli berkata, suspek utama juga didakwa menemui pemilik bot berusia 44 tahun yang juga peniaga kedai makan di Kuala Rompin pada hari sama untuk mengambil wang sebanyak RM2,000.

Katanya, mereka semua bagaimanapun ditahan di Nenasi, Pekan, dekat sini, pada hari sama bersama tong berisi sotong serta wang tunai RM1,700 yang ditemui di dalam kereta dinaiki mereka.

Azli berkata, semua suspek kini direman sehingga 30 Oktober ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 385 kanun sama bagi kesalahan pemerasan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 7 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana 2 daripada hukuman itu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.