
Berita Harian melaporkan Wee Chin Ooi, 59, dan teman wanitanya, Wee Fei Fang, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di depan Majistret Syed Farid Syed Ali.
Chin Ooi didakwa merompak barang kemas bernilai RM5.76 juta dan menggunakan sebilah pisau terhadap seorang wanita di Kedai Pajak Gadai Aik Lee Jaya Sdn Bhd di Jalan Besar, dekat Pasir Mas pada 1 tengah hari 21 Okt lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan perlu disebat, jika sabit kesalahan.
Fei Fang pula didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 dan 109 akta sama kerana bersubahat dengan Chin Ooi melakukan rompakan itu dengan nilai, pada tempat, masa dan tarikh sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan tidak mencadangkan jaminan kepada dua tertuduh dan memohon tarikh untuk serahan dokumen.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 6 Nov ini untuk serahan dokumen. Kedua-dua tertuduh diwakili peguam K M Maalinni.
Media sebelum ini melaporkan pengurus sebuah premis pajak gadai dan teman lelakinya ditahan kerana dipercayai mendalangi rompakan di tempat kerjanya dengan melarikan barang kemas bernilai RM5.7 juta di Pasir Mas, Selasa lalu.