Rompak warga China RM2.1 juta, 2 lelaki mengaku tak salah

Rompak warga China RM2.1 juta, 2 lelaki mengaku tak salah

Antara dirompak seutas jam tangan RM1.2 juta, tiga jongkong emas 300g, dan wang tunai RM100,000.

Syakir Ami and Mahsar Nor
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur benar Mohd Syaqir Mohd Ami, 30, dan Nur Mohamed Mahsar Mohamed Nor, 34, diikat jamin masing-masing RM15,000. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana melakukan rompakan berkumpulan ke atas warga China melibatkan kerugian RM2.1 juta.

Pengakuan itu dibuat Mohd Syaqir Mohd Ami, 30, dan Nur Mohamed Mahsar Mohamed Nor, 34, di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Mengikut pertuduhan kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama dua yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta milik mangsa berusia 31 tahun, lapor Kosmo.

Harta itu ialah seutas jam tangan berjenama RM1.2 juta, tiga jongkong emas seberat 300g, wang tunai RM100,000, dan lima telefon bimbit pelbagai jenama dengan anggaran kerugian RM2,146,000.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, 10.10 malam pada 21 Julai lalu, yang didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nidzuan Abdul Latif tidak menawarkan jaminan kerana kes dilakukan kedua tertuduh serius dengan membabitkan kerugian tinggi.

“Sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin jaminan, saya mohon setiap tertuduh dikenakan jumlah jaminan tinggi berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran serta menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Mendengar perkara itu, peguam Hazwan Hassan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin selain tiada bantahan mengenai syarat tambahan yang akan ditetapkan mahkamah.

Peguam itu berkata, tertuduh Syaqir bekerja sebagai jurujual dan berpendapatan RM2,000 sebulan, selain menanggung ibunya menghidap penyakit kanser tahap empat.

Sementara tertuduh Nur Mohamed Mahsar, yang juga bekerja sebagai jurujual dan berpendapatan RM2,000 sebulan perlu menanggung isteri serta dua anak yang masih kecil.

Hakim kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM15,000 beserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Sept sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.