
Mayat warga Bangladesh, Md Abdul Jalil, 34 serta kepalanya ditemui pada 4.50 petang tadi di sempadan sektor 2 dan 3 manakala tangan kiri dan kaki kanan mangsa belum dijumpai.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Che Zaimani Che Awang berkata mayat Md Abdul Jalil dicam oleh rakan-rakannya berdasarkan hujung jari kaki kirinya yang melekat.
“Polis percaya mangsa telah dihempap batu besar ketika kejadian sehingga menyebabkan kepala dan anggota badannya terpisah,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Susulan penemuan mayat terbaharu itu terdapat 3 lagi mangsa yang masih hilang, dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan tanah tersebut.
Che Zaimani berkata operasi mencari dan menyelamat ketiga-tiga mangsa iaitu seorang lelaki Indonesia, Subairi dan 2 lelaki Bangladesh dikenali sebagai Ujal dan Rahat kini bertumpu di sektor 2 dan 3 kerana anjing pengesan berminat dengan kawasan itu.
Kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan lebuh raya berkembar Bukit Kukus yang dilapor pada 1.56 tengah hari Jumaat turut menyebabkan 4 yang lain cedera terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh dan 3 wanita Indonesia.
Che Zaimani berkata mangsa lelaki yang cedera, Shamim, 24, yang dirawat di Hospital Pulau Pinang hari ini dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi hospital itu dan keadaannya yang mengalami kecederaan dalaman dilaporkan kritikal.
Beliau berkata 3 wanita Indonesia yang cedera iaitu Wa Iri, 36, mengandung 4 bulan; Norazizah, 24; dan Laduma, 46, dibenarkan keluar dari hospital.
“Laduma yang mendakwa diri sebagai mangsa kejadian tampil di lokasi kejadian hari ini untuk memberi maklumat bagi membantu operasi mencari dan menyelamat,” katanya.
Wanita itu sebelum ini tiada dalam senarai nama mangsa kejadian tanah runtuh tersebut.
Che Zaimani berkata SAR akan diteruskan malam ini selepas perbincangan dengan bomba serta Jabatan Mineral dan GeoSains.
“Tanah di sini telah didapati selamat dan operasi akan diteruskan sehingga semua mangsa ditemui,” katanya.
Sementara itu, Che Zaimani ketika dihubungi berkata 7 pekerja asing yang maut dalam kejadian tersebut tidak mempunyai permit kerja sah untuk bekerja di negara ini manakala yang cedera pula belum diketahui sama ada mempunyai permit atau tidak.
Katanya berdasarkan siasatan dan pemeriksaan awal dengan kontraktor terlibat, ada di antara 7 mangsa yang maut itu langsung tidak mempunyai pasport dan dokumen perjalanan diri mereka telah tamat tempoh.