
Hakim Rasyihah Ghazali membuat keputusan itu terhadap juruteknik elektrik, S S Satthiya, 26, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ain Shafie memaklumkan pihaknya mendapat arahan daripada pengarah pendakwaan veterinar Selangor untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh.
“Kami mendapat arahan daripada pengarah pendakwaan veterinar Selangor untuk melepas tanpa membebaskan Satthiya daripada pertuduhan mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.
“Namun, kes terhadap seorang lagi tertuduh, pemandu teksi A Mohanraj, 41, tetap diteruskan dan semua dokumen telah disediakan untuk diserahkan kepada pihak pembelaan,” katanya dalam sebutan kes itu.
Mahkamah kemudiannya melepas tanpa membebaskan Satthiya yang tidak diwakili peguam itu daripada pertuduhan tersebut.
Pendakwaan turut dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor, Mohd Roslan Isa.
Dua lelaki itu didakwa bersama seorang lagi suspek berusia 41 tahun menyebabkan penderitaan tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di sebuah dobi di Taman Gombak Ria, Batu Caves, di sini, antara 12.54 tengah malam hingga 1 pagi, pada 11 September lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 20 September lalu, Satthiya dan Mohanraj mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.
Sebelum ini, tersebar satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan kejam 2 individu membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu kemudian tersebar di media sosial dan dikecam masyarakat, sebelum Persatuan Haiwan Malaysia membuat laporan polis dan kedua-dua individu itu ditahan 14 September lalu.