Lelaki disyaki bunuh 3 kucing dalam mesin basuh direman 4 hari

Lelaki disyaki bunuh 3 kucing dalam mesin basuh direman 4 hari

Suspek ditahan pada 12.15 pagi 13 Julai lalu oleh penguat kuasa JPV Selangor.

Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki memasukkan kucing ke mesin basuh di sebuah kedai dobi di Kepong pada 12 Julai lalu.
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki yang disyaki membunuh 3 ekor kucing dengan memasukkannya dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi, di Desa Amanpuri, Kepong pada 12 Julai lalu direman 4 hari.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dalam kenyataan hari ini berkata, suspek ditahan pada 12.15 pagi keesokannya oleh penguat kuasa JPV Selangor.

“Perintah reman ke atas orang yang disyaki diperoleh dari Mahkamah Selayang, Selangor selama 4 hari mulai 13 Julai hingga 16 Julai.

“Barang kes yang merupakan 3 bangkai kucing diambil pegawai penyiasat dan dihantar ke Makmal Veterinar Salak Tinggi bagi tujuan bedah siasat,” menurut kenyataan itu.

Siasatan dijalankan di bawah Subseksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), iaitu dengan kejam menyebabkan kesakitan dan penderitaan tidak sepatutnya ke atas 3 ekor kucing berkenaan.

Hasil siasatan awal rakaman CCTV di kedai dobi menunjukkan suspek memasukkan 3 ekor kucing dalam mesin basuh berasingan pada 5.30 pagi.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 9.30 pagi selepas seorang wanita yang pergi ke dobi itu untuk membasuh baju menemui bangkai kucing berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.