Autistik ditangkap: Hannah minta henti kecam mangsa, suspek

Autistik ditangkap: Hannah minta henti kecam mangsa, suspek

Timbalan menteri meminta orang ramai henti mengecam mangsa dan suspek susulan tangkapan seorang lelaki autistik yang didakwa meraba seorang wanita.

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat Hannah Yeoh berharap orang ramai berhenti mengecam mangsa dan suspek dalam kejadian raba melibatkan seorang lelaki autistik.

Hannah berkata mangsa dan orang kurang upaya yang menjadi suspek dalam kes kontroversi itu perlu diberi ruang untuk melalui proses undang-undang kerana kecaman masyarakat hanya menambah trauma kedua-dua belah pihak.

“Berikan mereka ruang dan masa untuk rawat diri daripada trauma yang dialami,” katanya kepada pemberita di majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan hari ini.

Seorang lelaki berusia 22 tahun yang menghidap autisme, atau kecacatan perkembangan tegal, ditangkap selepas satu laporan polis dibuat kerana mencabul kehormatan seorang perempuan di Subang Jaya, Selangor 11 September lepas.

Mangsa dilaporkan trauma dan murung selepas kehormatannya dicabuli manakala suspek pula tidak faham kesan tindakannya dan kenapa dia ditahan.

Ibu suspek dilaporkan faham mangsa tentunya melalui pengalaman yang menakutkan dan berharap polis mempunyai tatacara operasi standard (SOP) yang khusus untuk menangani kes melibatkan orang kurang upaya (OKU).

Ketua Polis Subang Jaya Mohammad Azlin Saari berkata suspek ditangkap selepas pengecaman dibuat dan mengikut SOP biasa.

Hannah berkata kementerian sedang melihat SOP untuk tangkapan dan penahanan seorang OKU.

“Sementara itu, orang ramai hentikan mengecam wanita muda itu kerana beliau seorang mangsa,” katanya.

Kes tersebut tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai yang mempersoalkan dan menyalahkan mangsa, suspek dan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.