
“Hakim perbicaraan memutuskan testimoni Dr Mahathir akan menjadi relevan dalam membantu mahkamah mengumpul dapatan,” kata peguam Jamal, Naseer Yusof kepada pemberita selepas hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaki Abdul Wahab membuat keputusan di kamarnya.
Menurut Naseer, antara sebabnya ialah Dr Mahathir pernah mengulas mengenai perhimpunan Bersih 3 pada 2012.
Dr Mahathir juga, katanya, pernah mengkritik Bersih sebelum menyertai pembangkang.
Satu lagi sebab, kata Naseer, ialah kerana Dr Mahathir pernah memegang jawatan sebagai menteri dalam negeri yang bertanggungjawab mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang pernah digunakan ke atas arwah suami Maria, Yunus Ali.
Jamal, pemimpin gerakan Baju Merak dan juga ketua Umno Sungai Besar, memanggil Dr Mahathir sebagai saksiknya dalam perbicaraan itu, untuk membuktikan pembelaannya berkenaan komen yang adil dan justifikasi.
Dalam tuntutan mahkamahnya, Maria mendakwa pada 28 September 2016, Jamal mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah terhadap Bersih pada sidang akhbar di luar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Beliau juga mendakwa pada 4 Oktober tahun lepas, Jamal mengeluarkan kata-kata fitnah yang sama terhadap Bersih pada persidangan media di pekarangan ibu pejabat polis Bukit Aman.
Menurut Maria, portal media dan berita kemudiannya menerbitkan kenyataan tersebut.
Kata Maria, perkara itu menjatuhkan reputasinya di mata umum.
Beliau menuntut ganti rugi dan juga injunksi untuk menghalang Jamal daripada mengeluarkan atau menerbitkan kenyataan sama ada secara lisan, dalam bentuk cetakan atau atas talian.
Sementara itu, bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil pendirian saksi pada 24 Januari.