Jangan berlebihan dalam politik, Mahdzir beritahu pendidik

Jangan berlebihan dalam politik, Mahdzir beritahu pendidik

Katanya, sebagai warga kerajaan, mereka terikat dengan peraturan tertentu terutamanya berhubung hal bertentangan dengan dasar kerajaan.

Mahdzir-Khalid-guru-pedalaman2
PUTRAJAYA:
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan warga pendidik berpada-pada dalam berpolitik agar tidak melanggar peraturan sebagai penjawat awam.

Katanya, sebagai warga kerajaan, mereka terikat dengan peraturan tertentu dalam perkhidmatan awam terutamanya berhubung hal bertentangan dengan dasar kerajaan.

Bercakap pada sidang media selepas menyampaikan perutusan tahun baharu kementerian itu, Mahdzir berkata walaupun jumlahnya tidak ramai, kecenderungan mereka menunjukkan politik kebencian perlu diberi peringatan agar tidak berterusan.

“Walaupun ada dalam kalangan pendidik menyertai parti politik pembangkang, mereka perlu ‘fine tune’ dan meletakkan ‘buffer zone’ antara kerjaya dan ideologi politik agar tidak terlalu menyerlahkan watak pembenci dan antikerajaan,” katanya mengulas kecenderungan pendidik menaiki pentas pembangkang dan menyatakan secara terbuka perkara tidak disukai berkaitan kerajaan.

Katanya, kementerian tidak berhasrat mengganggu warga pendidik terbabit sehingga perlu dipecat daripada perkhidmatan tetapi meminta mereka bertindak secara profesional selaku penjawat awam.

“Apa yang perlu adalah saling memahami peraturan dan batasan sebagai penjawat awam dan jika semua mengikut peraturan dan etika ditetapkan, maka setiap perkara akan menjadi lebih mudah,” katanya.

Menyentuh mengenai cadangan penyediaan lokar simpanan di sekolah yang boleh disewa bagi menyelesaikan masalah beg berat yang ditanggung murid, Mahdzir berkata walaupun boleh dilaksanakan langkah itu tidak praktikal kerana melibatkan tambahan kos kepada keluarga pelajar.

“Apabila libatkan tambahan kos, ia susah sikit dan pada saya lebih baik kementerian cari kaedah lain dalam menyelesaikan masalah tersebut,” katanya sambil menambah kajian untuk tujuan terbabit sedang dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Berkenaan isu persekolahan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan, Mahdzir berkata mereka dibenarkan bersekolah dalam tempoh 2 tahun sementara proses penyediaan dokumentasi diri dengan pihak berwajib diselesaikan.

“Jika tidak (selesai) keluarga mereka perlu merujuk semula kepada pihak sekolah dan kita akan lanjutkan tempoh kebenaran bersekolah, bermakna mereka tetap dapat bersekolah seperti biasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.