Umno Kedah stabil di bawah Mahdzir, namun terbuka peranan KJ

Umno Kedah stabil di bawah Mahdzir, namun terbuka peranan KJ

Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata pihaknya sentiasa terbuka berbincang dengan mana-mana tokoh yang ikhlas mahu membantu perjuangan parti.

Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata pihaknya terbuka berbincang dengan Khairy Jamaluddin.
PETALING JAYA:
Umno Kedah dalam keadaan stabil, tersusun dan terus bergerak aktif di bawah kepimpinan Mahdzir Khalid, kata seorang pemimpinnya ketika wujud gesaan kehadiran figura seperti Khairy Jamaluddin untuk memacu semula kebangkitan parti itu.

Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata pelbagai gerak kerja sedang dilaksanakan bagi mendekati rakyat dengan soal kerusi serta calon masih awal untuk diputuskan.

Namun beliau berkata Umno Kedah sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana tokoh yang ikhlas mahu membantu perjuangan parti serta memberi nilai tambah kepada Barisan Nasional (BN) Kedah.

“Ini termasuk Khairy Jamaluddin.

“Namun pada ketika ini, Umno Kedah berada dalam keadaan stabil, tersusun dan terus bergerak aktif di bawah kepimpinan Mahdzir Khalid,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, Ketua Penerangan Pemuda Umno Kedah Mohd Safwan Jaafar dilaporkan berkata BN negeri itu memerlukan figura seperti Khairy bagi memacu semula kebangkitan politik.

Beliau berkata ideologi serta pemikiran bekas menteri kesihatan itu berupaya merangsang perubahan dalam cara fikir rakyat Kedah.

Khairy pernah mewakili Parlimen Rembau dari 2008 hingga 2022. Pada PRU15, beliau dipindahkan Umno untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh namun tewas kepada calon Pakatan Harapan, R Ramanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.