
Mungkin rutin pagi Ahad, 12 April lalu bagi dua insan ini sama. Bangun sebelum subuh, membersihkan diri, menunaikan solat, dan seterusnya bersiap ke sekolah. Ya, sekolah juga sama – SMK Tanjong Mas, Kota Bharu, Kelantan.
Sebelum melangkah keluar dari rumah, mereka mungkin sempat bersarapan dalam suasana sederhana. Ada yang berbual seketika dengan keluarga, ada yang hanya tersenyum sambil menyiapkan diri. Seperti hari-hari lain, yang kita sangka berakhir tenang.
Sampai di sekolah, mereka meneruskan tugas masing-masing iaitu mendidik dan belajar. Manusia hanya merancang sedang Allah sebaik-baik perancang.
Dalam sekelip mata, detik 1.30 tengah hari itu berubah menjadi lembaran duka yang sukar dilupakan. Tragis dan menyentap hati. Suasana yang sepatutnya dipenuhi suara ilmu dan tawa pelajar, bertukar menyesakkan dada. Dan dari saat itu, sebuah kisah tidak pernah dijangka pun bermula, yang tercatat dalam qada dan qadar, sebagaimana tertulis di Lohmahfuz sejak azali.
Di hadapan takdir, lidah menjadi kelu. Akal mencari jawapan, namun hati hanya mampu tunduk. Kita sedar ada perkara yang melangkaui kemampuan untuk memahami sepenuhnya hikmah di sebalik setiap kejadian.
Namun, sebagai insan yang masih diberi nikmat akal dan hati, kita tidak dituntut untuk berhenti pada kesedihan semata-mata. Kita juga tidak diajar untuk terus menghukum tanpa memahami.
Sebaliknya, kita dituntut untuk melihat dengan lebih dalam — di sebalik setiap takdir, ada amanah yang perlu dipikul, ada kelemahan perlu diperbaiki, dan ada ruang perlu diperhalusi.
Apa yang berlaku di SMK Tanjong Mas bukan sekadar peristiwa yang berlalu sebagai berita. Ia adalah peringatan halus tentang rapuhnya kehidupan, mengenai betapa mudahnya rutin berubah menjadi ujian, dan tentang betapa manusia sebenarnya sentiasa bergantung kepada rahmat Allah dalam setiap hela nafasnya.
Ustazah dan pelajar, kedua-duanya insan biasa. Membezakan mereka bukan pada takdir yang menimpa, tetapi bagaimana kita sebagai masyarakat memilih untuk menilai, memahami, dan akhirnya belajar daripada apa yang berlaku.
Dalam keheningan selepas tragedi, kita sebenarnya sedang diajak untuk kembali melihat diri sendiri. Memperbaiki cara kita menilai, berbicara dan memahami sesama manusia, kerana kata-kata yang terburu-buru adakala mampu melukakan lebih dalam daripada kita sedari.
Adakah kita terlalu cepat menghukum? Terlupakah kita di sebalik setiap nama, ada jiwa yang sedang diuji? Dan adakah kita masih mampu memberi ruang kepada belas ihsan sebelum prasangka mengambil tempat?
Kerana akhirnya, semua ini mengajar kita satu perkara yang sama—hidup bukan hanya tentang memahami apa yang berlaku, tetapi bagaimana kita menerima dengan reda, memperbaiki dengan hikmah, dan terus melangkah dengan ihsan.
Dan mungkin di situlah terletaknya makna sebenar qada dan qadar: bukan untuk dipersoalkan dengan hati yang keras tetapi direnung dengan hati yang tunduk. Yang sudah tertulis di Lohmahfuz, dalam ilmu Allah yang Maha Luas dan Maha Mengetahui.
Penulis ialah timbalan pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.