
Beliau berkata sasaran itu meningkat berbanding tahun lalu yang menyaksikan 921 projek berjaya dilaksanakan termasuk 68 projek di Pahang.
“Bagi tahun ini, kita menyasarkan pelaksanaan 1,500 projek Sekolah Angkat Madani di seluruh negara, dengan pemilihan sekolah kini di peringkat akhir dan pelaksanaan projek akan dijalankan secara berfasa,” katanya dalam kenyataan.
Wong berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan inisiatif SAM di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kemahal, Triang, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kementeriannya merancang menambah antara lima hingga tujuh lagi Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) di seluruh negara bermula tahun depan.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memperluas akses pendidikan khususnya kepada murid di kawasan luar bandar dan pedalaman yang berdepan cabaran jarak perjalanan jauh ke sekolah.
Beliau berkata penambahan sekolah K11 tidak melibatkan pembinaan baharu, sebaliknya menaik taraf sekolah sedia ada bagi membolehkan murid mengikuti pendidikan dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di institusi sama, sekali gus mengurangkan risiko keciciran pendidikan.
Beliau berkata model K11 merupakan pendekatan terbaik bagi memastikan kesinambungan pendidikan tanpa perlu murid berpindah sekolah selepas tamat pendidikan rendah.
“Di kawasan luar bandar, ada murid yang terpaksa mengambil masa antara satu jam hingga satu jam setengah untuk hadir ke sekolah setiap hari. Sebab itu model seperti K11 sangat penting,” katanya.
Menurutnya, antara kemudahan yang disiapkan menerusi projek sekolah angkat itu termasuk pembinaan gelanggang sofbal, naik taraf makmal komputer dan kerja membaik pulih infrastruktur sekolah dengan kerjasama sektor korporat.