Trump pertaruh nadi ekonomi dunia

Trump pertaruh nadi ekonomi dunia

Cadangan presiden AS untuk menyekat Selat Hormuz bakal membawa kesan besar baik kepada sekutu dan juga musuh.

oil tanker

Geopolitik berkait minyak sentiasa dipenuhi paradoks. Pada saat tekanan memuncak, negara sering beralih antara pendekatan tekanan keras dan kelonggaran.

Keputusan Amerika Syarikat pada Mac lalu untuk memberi lesen sementara kepada Iran bagi menjual minyak yang tersimpan dalam kapal tangki — dianggarkan sehingga 140 juta tong adalah satu bentuk kelonggaran.

Langkah itu bersifat pragmatik, bukan untuk memberi ganjaran kepada Tehran, tetapi menstabilkan harga minyak global yang semakin tidak menentu.

Namun, ruang fleksibiliti ini kini berisiko digantikan dengan pendekatan yang jauh lebih agresif: sekatan terhadap Selat Hormuz berdasarkan arahan terbaharu Presiden Donald Trump.

Jika dilaksanakan, langkah ini akan menafikan sepenuhnya kelegaan yang sebelum ini dibenarkan Washington.

Percanggahan ini jelas, tetapi ia mencerminkan perubahan strategi yang lebih mendalam, iaitu mengutamakan kepada tekanan maksimum ke atas Iran, walaupun dengan mengorbankan kestabilan pasaran global.

Malah Trump sendiri mengakui harga minyak yang tinggi boleh berlarutan sehingga pilihan raya pertengahan penggal Kongres AS, iaitu antara sekarang hingga November 2026.

Dunia kini berdepan situasi tegang yang berisiko tinggi, berpunca daripada usaha mengekang eksport minyak Iran.

Sememangnya, AS telah lama mengenakan sekatan ke atas eksport minyak Iran dengan tahap ketegasan yang berbeza-beza.

Penarikan diri daripada perjanjian nuklear pada 2018 menandakan peningkatan tekanan yang ketara, dengan matlamat untuk mengurangkan eksport minyak Iran hampir ke sifar.

Namun, pasaran tenaga global jarang mengikut kehendak geopolitik sepenuhnya.

Pelbagai jalan alternatif muncul. Minyak Iran masih sampai kepada pembeli utama seperti China dan India, selalunya melalui kaedah penghantaran yang tidak telus dan rangkaian perantara.

Keputusan pada Mac lalu untuk melonggarkan sekatan sementara mengiktiraf realiti ini. Membenarkan Iran melepaskan 140 juta tong minyak ke pasaran bukan sekadar langkah ekonomi tetapi juga mekanisme penstabil strategik bagi AS.

Dengan harga minyak Brent meningkat akibat konflik di Asia Barat, bekalan tambahan diperlukan untuk mengelakkan kejutan tenaga yang lebih besar.

Secara tidak langsung, Washington mengakui menghapuskan sepenuhnya minyak Iran dari pasaran bukanlah sesuatu yang realistik atau diingini dalam keadaan semasa.

Namun, sekatan terhadap Selat Hormuz akan menjadi perubahan besar daripada pendekatan yang lebih terkawal ini.

Berbeza dengan sekatan ekonomi yang bergantung kepada mekanisme kewangan dan undang-undang, sekatan maritim bersifat serta-merta dan fizikal — terutamanya selepas kegagalan rundingan selama 21 jam di Islamabad, di mana Iran menghantar sekitar 300 pegawai dan AS pula 70 wakil.

Kegagalan rundingan itu akan mengganggu bukan sahaja eksport Iran, tetapi juga aliran tenaga global melalui salah satu laluan paling kritikal di dunia.

Kira-kira satu perlima minyak dunia melalui Selat Hormuz. Sebahagian besar daripadanya termasuk minyak Iran yang dihantar ke China dan India.

Dengan menghalang kapal yang disyaki membawa minyak Iran, AS bukan sahaja memutuskan sumber ekonomi utama Tehran, tetapi juga berisiko mencetuskan kesan berantai yang tidak dijangka.

Pertama, sukar membezakan dengan jelas antara minyak Iran dan bukan dari negara itu. Kapal tangki sering melakukan pemindahan minyak di laut, menukar bendera, dan pelbagai taktik lain yang mengaburkan asal usul minyak.

Sekatan itu boleh menyebabkan kapal dari negara lain turut terjejas, sekali gus meningkatkan ketidakpastian dan kos insurans.

Kedua, China dan India — dua negara yang sangat bergantung kepada import tenaga — akan terkesan secara langsung.

Bagi China, minyak Iran adalah sumber penting yang lebih murah dan strategik. Bagi India pula, ia membantu mempelbagaikan bekalan dalam pasaran yang semakin ketat.

Gangguan bekalan ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan tenaga mereka, malah merumitkan hubungan geopolitik dengan Washington.

Ketiga, pelepasan 140 juta tong minyak Iran yang bertujuan menurunkan harga global akan menjadi sia-sia kerana Iran tidak lagi mampu menghantar minyaknya ke pasaran.

Pasaran tidak akan memberi reaksi terhadap peningkatan bekalan, sebaliknya terhadap risiko gangguan yang meningkat.

Harga minyak dijangka melonjak jauh melepasi paras yang cuba dielakkan oleh pembuat dasar di Washington.

Ini menimbulkan persoalan asas: adakah matlamatnya untuk menstabilkan pasaran, atau untuk menekan Iran semaksimum mungkin? Kedua-dua tujuan ini kini semakin bercanggah.

Lesen sementara pada Mac menunjukkan AS bersedia bertolak ansur sedikit demi kestabilan ekonomi global.

Namun, kegagalan rundingan di Islamabad dan cadangan sekatan Selat Hormuz menunjukkan keutamaan telah berubah — tekanan strategik kini mengatasi pertimbangan ekonomi.

Bagi Asia Tenggara termasuk Malaysia, kesannya sangat besar. Rantau ini amat terdedah kepada kejutan tenaga dari Teluk.

Harga minyak yang tinggi bermakna kos pengangkutan, pembuatan dan makanan meningkat.

Kesannya turut melibatkan sektor baja, makanan ternakan, malah industri semikonduktor yang bergantung kepada rantaian bekalan global.

Dalam situasi ini, Asean tidak boleh sekadar menjadi pemerhati.

Perkembangan ini menuntut pendekatan lebih proaktif terhadap keselamatan tenaga, termasuk mempelbagaikan sumber, meningkatkan simpanan strategik dan memperkukuh kerjasama serantau.

Diplomasi juga menjadi semakin penting.

Konflik yang mengganggu Selat Hormuz bukan isu jauh — ia adalah kejutan sistemik dengan kesan segera kepada Asia Tenggara.

Akhirnya, pertentangan antara pelonggaran sekatan dan sekatan maritim mencerminkan dilema lebih besar dalam dasar luar AS.

Usaha menekan Iran mungkin memberi keuntungan taktikal jangka pendek, tetapi berisiko menggugat kestabilan sistem global yang cuba dipertahankan oleh AS sendiri.

Selat Hormuz bukan sekadar laluan geografi. Ia adalah nadi sistem tenaga dunia.

Menyekatnya bermakna mempertaruhkan aliran utama ekonomi global. Dan dalam pertaruhan seperti ini, tiada pemenang mutlak — hanya kerugian dengan tahap yang berbeza.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.