
Sekiranya ditubuhkan, RCI itu merupakan suruhanjaya siasatan kedua yang ditubuhkan untuk menyiasat peristiwa yang berlaku di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. RCI menyiasat kerugian akibat dagangan mata wang asing 1990-an akan bersidang esok.
“Kerajaan sedia mempertimbangkan penubuhan RCI terhadap Tragedi Memali sekiranya terdapat individu, pertubuhan atau parti politik yang meminta,” katanya di Twitter hari ini.
PAS pada 16 Ogos lalu menggesa kerajaan menubuhkan RCI dan menggesa kerajaan memohon maaf di atas konfrontasi antara pihak berkuasa dan pengikut penceramah agama Ibrahim Mahmud 32 tahun lalu di Kampung Memali di Baling, Kedah, yang menyaksikan Ibrahim, 13 pengikutnya dan 4 anggota polis terbunuh.
Kerajaan pernah menerbitkan kertas putih Peristiwa Memali yang dikemukakan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 1986.
Namun Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata saksi kejadian mendakwa Kertas Perintah 21 itu satu “pembohongan”.
Isu ini kembali hangat selepas kekecohan yang berlaku di forum “Nothing to Hide 2.0” Ahad lepas, selepas objek dilontarkan ke pentas semasa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan hadirin mengenai peristiwa itu.
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata PAS sengaja menimbulkan isu Memali demi meraih undi orang Melayu untuk pilihan raya umum ke-14 nanti.