SPRM tangkap 6 individu terlibat skandal rasuah hartanah di Johor

SPRM tangkap 6 individu terlibat skandal rasuah hartanah di Johor

Kesemua suspek disyaki bersubahat dalam pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis.

rasuah
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menangkap 6 individu dipercayai terlibat dalam skandal rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di Johor.

Keenam-enam suspek berusia antara 25 dan 50 tahun itu ditangkap di beberapa lokasi di Johor Bahru dalam satu operasi serentak yang dilancarkan SPRM kira-kira 8.30 pagi semalam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata, mereka yang ditangkap merupakan anak dan pegawai khas kepada seorang pegawai kerajaan Johor, 2 orang pemaju, 1 peguam, dan 1 orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal itu.

“Menerusi maklumat awal yang diperolehi, kesemua suspek disyaki telah bersubahat dalam pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek-projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis-premis di Johor.

“Kegiatan mereka dipercayai telah mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada hasil pendapatan kerajaan Johor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azam berkata, dalam operasi berkenaan, SPRM juga merampas 21 kereta mewah, 5 motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.

kereta

“SPRM kini dalam proses meneliti semua dokumen yang dirampas berhubung penyelewengan hartanah di Johor.

“Sebanyak 45 akaun bank milik kesemua suspek melibatkan lebih kurang RM15.5 juta juga telah dibekukan bagi membantu siasatan,” katanya.

SPRM akan memanggil beberapa orang lagi saksi bagi membantu melengkapkan siasatan.

Penolong pendaftar Noor Hidayah Abdul Manaf membenarkan kesemua suspek direman selama 7 hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau 5 kali ganda nilai suapan yang mana lebih tinggi jika didapati bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.