Rasuah pusat urut: 5 lagi ditahan, RM13 juta dibeku

Rasuah pusat urut: 5 lagi ditahan, RM13 juta dibeku

Susulan siasatan SPRM melakukan penggeledahan di enam lokasi di Lembah Klang melibatkan pejabat serta kediaman suspek yang dikenal pasti.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah reman pagi tadi.
PETALING JAYA:
Lima lagi individu melibatkan empat penguat kuasa dan seorang pesara agensi penguatkuasaan ditahan kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan rangkaian pusat urut terkemuka dalam negara.

Bagaimanapun, empat daripada mereka melibatkan tiga penguat kuasa dan pesara itu direman empat hari hingga 2 Feb selepas Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan reman dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi.

Sumber berkata, sebelum itu kelima-lima suspek lelaki berusia lingkungan 30 hinga 60-an ditahan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya ketika hadir memberi keterangan sekitar 5 petang hingga 7 malam semalam.

“Salah seorang daripada suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM, manakala empat lagi dibawa ke Mahkamah Maijstret Putrajaya untuk permohonan reman.

“⁠Semua suspek disyaki menerima suapan daripada syarikat perniagaan pusat urut untuk melancarkan operasi serta memudah cara bagi proses permit pekerja asing syarikat tersebut.

“Sehingga kini juga, SPRM mengambil keterangan daripada 16 saksi bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber berkata, susulan siasatan itu SPRM melakukan penggeledahan di enam lokasi di Lembah Klang melibatkan pejabat serta kediaman suspek yang dikenal pasti.

Katanya, SPRM turut membekukan 124 akaun perbankan milik individu dan syarikat melibatkan nilai kira-kira RM13.3 juta.

“Rangkaian pusat urut ini dipercayai menggunakan sistem perakaunan dua lapis di mana 80% jualan tunai tidak dilaporkan, menyebabkan anggaran kebocoran cukai sebanyak RM7.56 juta setahun.

“Disyaki terdapat bayaran rasuah sebanyak RM2.7 juta setahun kepada beberapa pegawai daripada beberapa agensi penguat kuasa termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai wang perlindungan.” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

Katanya, siasatan juga sedang menganalisis dan mengenal pasti elemen bawah kesalahan jenayah lain khususnya aktiviti pengubahan wang haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.