
Ketua Penolong Pesuruhjaya Penguatkuasa Syariah JHEAT Nik Zulhaiza Ismail berkata, operasi itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis.
“Pihak JHEAT tidak mengenakan sebarang tindakan kepada pesalah cuma dipanggil menghadiri sesi kaunseling sebelum diberi amaran dan ditahan jika mengulangi kesalahan sama.
“Kami bekerjasama dengan JPJ atau polis, sebab pejabat agama tiada hak menahan pemandu. Tindakan ini sebagai mencegah gejala sosial di Terengganu yang berpunca daripada terlalu terdedah dengan hubungan bebas,” katanya ketika dihubungi FMT.
Khamis lalu, lebih 52 individu berusia antara 16 hingga 42 tahun, ditahan dalam “Op Bonceng” di Batu Buruk, Terengganu dengan alasan “berkelakuan tidak sopan di tempat awam”.
Menurut pihak majlis agama negeri, mereka ditahan kerana didapati menunggang dan membonceng motosikal dengan bukan mahram.
Jika ingkar atau masih mengulangi perbuatan sama, mereka akan dikenakan tindakan menurut Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
Pihak majlis agama Terengganu juga akan memperluas lagi usaha tersebut keseluruh negeri di samping mengadakan ceramah dan penjelasan kepada rakyat.
Sementara itu, peguam hak asasi, Saiful Izham Ramli berkata walaupun undang-undang membenarkan majlis agama Islam negeri meminta bantuan JPJ dan polis, mereka perlu memperincikan di bawah enakmen mana ia digunakan.
Katanya, jika tiada enakmen yang jelas di bawah undang-undang syariah, mangsa berhak mencabar tindakan tersebut di mahkamah.
“Di bawah undang-undang memang boleh JPJ dan polis membantu majlis agama, cuma ia perlu diperincikan di bawah enakmen mana kerana JPJ dan polis mempunyai kuasa di bawah Akta Pengangkutan Jalan atas kesalahan jalan raya sahaja.
“Tetapi mereka perlu sedar ia mungkin salah dan boleh dicabar, kecuali ada peruntukan yang jelas dan setahu saya tiada peruntukan sebegitu,” katanya kepada FMT.