Mahkamah enggan gugur bicara kes gabenor hina Islam di Indonesia

Mahkamah enggan gugur bicara kes gabenor hina Islam di Indonesia

Hakim memutuskan pertuduhan yang difailkan pendakwa terhadap gabenor Ahok itu sah meskipun pembela menyatakan perbicaraan berkenaan terlalu didesak dan diselubungi kritikan awam.

Basuki-Tjahaja-Purnama_indonesia_600
JAKARTA:
Mahkamah Indonesia hari ini enggan menggugurkan pertuduhan menghina Islam terhadap gabenor Jakarta beragama Kristian, sementara ratusan orang mengadakan bantahan di luar mahkamah ketika perbicaraan berlangsung.

Basuki Tjahaja Purnama – gabenor pertama ibu kota Jakarta beragama Kristian dalam tempoh 50 tahun – mencetuskan kemarahan rakyat Indonesia yang majoriti Muslim di mana beliau memetik surah Al-Quran ketika berkempen dalam pemilihan gabenor Jakarta.

Kes berprofil tinggi terhadap Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok itu mendapat perhatian di Indonesia dan ramai yang bimbang ia menyebabkan golongan ekstremis agama mendesak agenda mereka dalam negara berpopulasi 255 juta itu.

Hakim Dwiarso Budi Santiarto memutuskan pertuduhan yang difailkan pendakwa itu sah meskipun aduan pihak pembela menyatakan perbicaraan berkenaan terlalu didesak dan diselubungi kritikan awam.

Di luar mahkamah, ratusan penunjuk perasaan melaungkan pelbagai slogan termasuk “Allahuakbar”.

“Kami umat Islam mendesak Ahok dipenjarakan atau dihukum dengan hukuman berat,” kata Suyono, salah seorang penunjuk perasaan.

Ahok masih kekal sebagai calon dalam pemilihan semula gabenor pada Februari, meskipun beliau mungkin dipenjarakan maksimum 5 tahun jika disabitkan bersalah.

Beliau menjadi calon kegemaran yang dijangka memenangi pemilihan itu tetapi pendakwaan di mahkamah menyebabkan kedudukan itu bertukar.

“Saya tidak peduli jika hakim menolak bantahan gabenor. Kami masih akan berkempen untuk gabenor walau apa pun berlaku,” kata penyokong Ahok, Jappy Pellokila.

Hampir semua kes menghina Islam di Indonesia berakhir dengan sabitan bersalah dan kumpulan berhaluan kanan bimbang kes itu akan menghakis reputasi negara untuk toleransi dan kepelbagaian.

Perbicaraan ditangguhkan pada 3 Januari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.