
Nasir Yusof yang mewakili Jamal berkata, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menasihatkan kedua-dua pihak tidak memanjangkan perkara itu.
“Beliau menasihatkan kedua-dua parti mencari penyelesaian secara damai tanpa perlu melalui perbicaraan,” katanya di luar mahkamah, hari ini.
Zaki menetapkan 9 Januari ini sebagai tarikh pengurusan kes untuk peguam memaklumkan status kes itu.
Nasir berkata, beliau akan menasihatkan anak guamnya.
“Terpulang kepada beliau untuk putuskan dan saya hanya ikut arahan.”
Maria yang juga pengerusi Bersih 2.0 turut akan mempertimbangkan nasihat hakim.
Melissa Sasidaran mewakili Maria.
Pada 7 Oktober lalu, Maria memfailkan saman terhadap ketua Gerakan Baju Merah itu kerana dilaporkan mendakwa Bersih 2.0 diresapi pengganas IS.
Beliau dikatakan membuat dakwaan itu pada satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Bukit Aman.
Maria mendakwa reputasinya terjejas selepas ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu mendakwa Bersih 2.0 mendapat khidmat nasihat perunding luar dan akan menggunakan taktik luar biasa seperti menawan lapangan terbang untuk menggulingkan kerajaan.
Maria terlebih dahulu memberi tempoh 48 jam kepada Jamal untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataannya melalui surat tuntutan pada 4 Oktober lalu.
Keesokannya, Jamal mengadakan sidang media dalam tandas lelaki di bangunan Umno Shah Alam dan mengoyak surat tuntutan yang dihantar peguam Maria, sebelum membuangnya ke dalam tandas dan mengepamnya.