
Ketika disoal balas oleh peguam Anwar, Razlan Hadri Zulkifli, bekas perdana menteri itu ditanya berhubung dakwaan-dakwaan lampaunya bahawa kerajaan semasa mengabaikan kepentingan Melayu sehingga komuniti itu berisiko kehilangan kuasa.
Mahathir memberi keterangan pada hari kedua pendengaran saman fitnah RM150 juta beliau terhadap Anwar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Donald Joseph Franklin di Mahkamah Tinggi di sini.
Razlan mula-mula sekali meminta Mahathir mengesahkan Perlembagaan ialah undang-undang tertinggi negara, dan beliau bersetuju.
Razlan: Pernahkah ada pindaan dibuat pada Perlembagaan di bawah pentadbiran Anwar bagi mengurang, melemah atau menghakis kuasa orang Melayu?
Mahathir: Saya tak nampak apa kaitan soalan itu dengan kes saya.
Tidak berpuas hati, Razlan mengulangi soalannya. Mahathir kemudiannya memberi keterangan bahawa memang terdapat pindaan dibuat kepada Perlembagaan di bawah pentadbiran Anwar.
Razlan: Jadi, pindaan apakah itu?
Mahathir: Soal kuasa Melayu tidak berbangkit. Ini soal undang-undang.
Razlan: Maknanya, tiada pindaan untuk mengurangkan kuasa orang Melayu?
Mahathir: Ada perkara lain yang mengurangkan kuasa Melayu, khususnya kuasa politik.
Razlan: Boleh kita sepakat bahawa tiada pindaan (terhadap Perlembagaan) dibuat di bawah pentadbiran Anwar untuk melemahkan orang Melayu?
Mahathir: Tiada.
Mahathir turut bersetuju dengan Razlan bahawa pengaruh orang Melayu masih ketara dalam perkhidmatan awam, termasuk pasukan polis dan angkatan tentera, yang majoritinya dianggotai komuniti itu.
Bagaimanapun, beliau menambah, ‘mereka tertakluk pada undang-undang’, tanpa menghuraikannya lebih lanjut.
Ketika prosiding berakhir kira-kira 4.30 petang, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu sempat menceriakan keadaan apabila bertanya jika masih ada soalan.
Apabila Razlan menjawab akan ada lagi soalan pada perbicaraan akan datang, Mahathir berseloroh: “Kalau macam ini, boleh hidup sampai 200 tahun saya.”
Saman fitnah itu difailkan Mahathir pada Mei 2023 susulan kenyataan Anwar pada Kongres Nasional Khas PKR dua bulan sebelum itu, merujuk ‘seseorang yang berkuasa selama 22 tahun dan 22 bulan’, yang menurut Mahathir jelas merujuk dirinya.
Perbicaraan bersambung pada 29 Okt ini.
Anwar diwakili peguam Ranjit Singh, Alliff Benjamin Suhaimi dan Razlan, manakala Mahathir diwakili oleh Rafique Rashid Ali dan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir.