
Sewaktu sesi pemeriksaan balas oleh peguam Razlan Hadri Zulkifli pada hari ketiga perbicaraan, Mahathir diasak untuk mengulas kenyataannya sebelum ini yang mendakwa orang Melayu semakin hilang kuasa di bawah pentadbiran Anwar.
Mahathir sebelum ini mendakwa Anwar mempunyai niat meminda Perlembagaan Persekutuan agar Malaysia tidak lagi akan dianggap sebagai Tanah Melayu.
Razlan: Pernahkah wujud sebarang keadaan di mana Anwar secara spesifik suarakan bahawa pentadbiran beliau akan pinda Perlembagaan dan jadikan negara ini tanah berbilang bangsa?
Mahathir: Beliau perdana menteri, dan kata-katanya ada pengaruh. Beliau telah nyatakan wujud kemungkinan beliau akan pinda Perlembagaan supaya Malaysia bukan lagi Tanah Melayu.
Peguam yang mewakili Mahathir, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir, lantas bangkit membantah hala tuju soalan pihak defendan.
“Kenyataan yang dipersoalkan adalah mengenai dakwaan bahawa Tun (Mahathir) korup dan memperkaya keluarganya, namun soalan-soalan yang diajukan menyentuh isu dasar dan politik, yang sama sekali tidak relevan dengan kenyataan tersebut,” hujahnya.
Razlan seterusnya mengasak Mahathir berhubung kedudukan Islam, bertanya sama ada sebarang rang undang-undang pernah dibentangkan di Parlimen bagi menggugurkan Islam sebagai agama persekutuan dan menjadikan Malaysia sebuah negara sekular.
Nizam sekali lagi membantah, berhujah bahawa anak guamnya disoal mengenai perkara-perkara yang amat menyimpang daripada kenyataan-kenyataan yang dipertikaikan.
Pesuruhjaya Kehakiman Donald Joseph Franklin memberi peringatan kepada pihak pembelaan bahawa perbicaraan boleh berlarutan sehingga bertahun-tahun sekiranya setiap kenyataan plaintif diteliti satu persatu.
“Kes ini tidak akan ada penghujungnya,” ujar beliau.
Razlan kemudian memaklumkan bahawa beliau akan meringkaskan soalannya, namun menegaskan plaintif (Mahathir) tidak wajar dibenar mengarahkan cara pihak pembelaan mengendalikan sesi pemeriksaan balas.
Apabila Razlan menyatakan bahawa tiada sebarang keterangan menunjukkan orang Melayu hilang kuasa di bawah pentadbiran Anwar, Mahathir kelihatan jelas gusar dan meninggikan suaranya.
“Saya bukan mengadu tentang nasib orang Melayu. Saya mengadu tentang dakwaan bahawa saya curi dana kerajaan dan terlibat dengan kronisme.
“Dakwaan-dakwaan inilah yang dorong saya ambil tindakan kerana ia menjejaskan nama baik saya selaku pemimpin negara,” tegasnya.
Pada sesi petang, seorang lagi peguam Anwar, Ranjit Singh, mempersoalkan Mahathir mengenai pemilihan Umno pada 1987 serta pemecatan Lord President ketika itu, Salleh Abas, dan dua hakim Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan) yang lain, sesuatu yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Mahathir.
Franklin sekali lagi mencelah dengan menyatakan bahawa dakwaan yang menyentuh salah laku ketiga-tiga hakim tersebut bukan isu dalam perbicaraan ini.
“Perbicaraan mengenai hal itu sahaja akan ambil masa lima hari lagi,” katanya.
Beliau memaklumkan akan membuat keputusan mengenai kerelevanan setiap soalan yang dikemukakan pada masa hadapan.
Hakim menetapkan 11 Nov untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh-tarikh perbicaraan yang seterusnya.
Mahathir memfailkan saman terhadap Anwar atas kenyataan yang dibuat dalam Kongres Nasional Khas PKR pada Mac 2023.
Presiden PKR itu didakwa menyebut bahawa ‘seseorang yang memegang kuasa selama 22 tahun dan 22 bulan’ memperkaya diri, keluarga, dan kroni-kroninya, selain gagal membayar cukai dan memindahkan dana ke luar negara.
Mahathir mendakwa kenyataan tersebut ditujukan kepada beliau dan bersifat fitnah.
Nizam dan Rafique Rashid Ali tampil bagi pihak Mahathir, manakala Anwar diwakili oleh barisan peguamnya, Ranjit, Razlan dan Alliff Benjamin Suhaimi.