Tuduhan Anwar lepas jadi PM jejas reputasi saya, Dr M beritahu mahkamah

Tuduhan Anwar lepas jadi PM jejas reputasi saya, Dr M beritahu mahkamah

Bekas perdana menteri itu nafi tuduhan beliau kayakan diri, keluarga, kroni, tidak bayar cukai dan bawa duit ke luar negara ketika berkuasa.

mahathir mohamad anwar ibrahim
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyaman Anwar Ibrahim berhubung tuduhan yang dibuat perdana menteri itu ketika Kongres Khas Nasional PKR pada 18 Mac 2023.
SHAH ALAM:
Dr Mahathir Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi beliau terpaksa memfailkan saman terhadap Anwar Ibrahim kerana kenyataan perdana menteri itu selepas memegang jawatan tersebut menjejaskan reputasinya di mata umum.

Ketika memberi keterangan sebagai saksi pertama dalam saman fitnah berjumlah RM150 juta, bekas perdana menteri yang kini berusia lebih 90 tahun berkata kenyataan Anwar mengenai ‘seseorang yang berkuasa selama 22 tahun dan 22 bulan’ jelas merujuk kepada dirinya.

Kenyataan itu dibuat semasa Kongres Khas Nasional PKR pada 18 Mac 2023, dan Mahathir memfailkan saman tersebut dua bulan kemudian.

Beliau berkata tuduhan Anwar membawa maksud bahawa beliau memperkayakan diri, keluarga, kroni, tidak bayar cukai dan bawa duit ke luar negara.

Ketika disoal oleh peguamnya Rafique Rashid Ali, Mahathir menjelaskan sebab beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap perdana menteri berusia 78 tahun itu.

Rafique: Mengapa anda saman Anwar Ibrahim?

Mahathir: Anwar sentiasa melemparkan tuduhan terhadap saya. Apabila beliau berbuat demikian sebelum jadi perdana menteri ia tidak beri kesan pada saya. Tetapi selepas beliau menjawat jawatan itu dan mengulangi tuduhan yang sama, ia memberi kesan serius kepada saya, seperti yang dilihat dalam komen di media sosial.

Mahathir berkata tiada bukti yang dikemukakan oleh Anwar menunjukkan beliau menyeleweng dana kerajaan, sambil menegaskan bahawa satu-satunya sumber pendapatannya adalah gajinya.

Katanya, sebagai perdana menteri, Anwar mempunyai sumber mencukupi untuk mengesahkan dakwaan yang dibuat itu dan tidak seharusnya bergantung pada andaian atau khabar angin.

Mahathir turut menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dan tidak pernah memberi arahan berhubung insiden yang disebut dalam pembelaan Anwar.

Ini termasuk, ‘bailout’ Konsortium Perkapalan Bhd pada 1997, di mana anak sulungnya Mirzan Mahathir merupakan pemegang saham dan pengarah; kontrak RM214.2 juta untuk membekal kabel gentian optik kepada Opcom, syarikat yang dikaitkan dengan anaknya Mukhriz Mahathir dan kontrak pembekalan rakan kongsi Unifi bernilai RM11.157 juta kepada syarikat sama.

Insiden lain termasuk pemberian lesen kepada Kencana Petroleum Bhd pada 2002, dikaitkan dengan anaknya Mokhzani Mahathir; dan suntikan dana kerajaan ke dalam Perwaja Steel, di mana Eric Chia berkhidmat sebagai pengarah urusan kumpulan.

“Tiada satu pun perkara itu melibatkan saya atau arahan daripada saya seperti yang dituduh Anwar,” katanya.

Prosiding kemudiannya ditangguhkan lebih awal selepas Rafique memohon penangguhan atas alasan keadaan kesihatan anak guamnya.

Mahathir memberitahu mahkamah bahawa beliau baru mengambil ubat dan tidak berfungsi sepenuhnya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Donald Joseph Franklin disambung 23 Okt.

Anwar diwakili peguam Ranjit Singh, Alliff Benjamin Suhaimi dan Razlan Hadri Zulkifli, manakala Rafique dan Nizam Bashir Kariem Bashir mewakili Mahathir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.