
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kerajaan sudah menghubungi pihak penganjur untuk mendapatkan maklumat.
“Pihak syarikat memaklumkan masalah adalah mendapatkan hak mendarat. Hal lain seperti tiket, hotel dan visa diatur dengan baik.
“Proses ini (mendapatkan hak mendarat) akan mengambil masa. Kerajaan akan cuba melihat untuk membantu jemaah yang terkandas ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas persidangan Multaqa Perundangan dan Politik anjuran Majlis Perundangan Islam (MPI) di The Everly Hotel hari ini.
Setakat 13 Disember lalu, sejumlah 200 jemaah ditempatkan di beberapa hotel di Nilai selepas penerbangan Eagle Express yang sepatutnya dinaiki mereka pada Isnin lepas ditangguhkan penerbangannya, akibat gagal mendapatkan permit tersebut.
Memetik laporan FMT Isnin lalu, jurucakap Eagle Express Farra Alia berkata pihaknya sedang menunggu permit daripada Arab Saudi dan akan berusaha menyelesaikan masalah itu.
Dalam pada itu, Jamil berkata pihak penganjur sepatutnya menumpukan soal permit terlebih dahulu kerana ia amat ditekankan bagi setiap lapangan terbang.
“Apatah lagi untuk lapangan terbang yang padat seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah. Pastilah mereka mementingkan hal ini,” katanya lagi.