
Ketika disoal balas peguam Kwan Will Sen yang mewakili SRC International Sdn Bhd, Jamil mengakui beliau tidak mendengar sendiri Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud menyatakan sebarang sebab memberikan sumbangan kewangan itu, dalam pertemuan tidak rasmi di istana Riyadh pada 11 Jan 2010.
Jamil yang ketika itu menteri hal ehwal agama memberikan keterangan dalam saman sivil yang dikemukakan SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, terhadap Najib berhubung RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada akaun syarikat.
Kwan: Ada disebut (oleh Raja Abdullah) tujuan derma itu?
Jamil: Tiada, ia hanya dirujuk sebagai ‘derma’.
Jamil berkata, pada masa itu, Raja Abdullah dan kerajaan Arab Saudi mengambil kira sentimen ‘Arab Spring’ dan berdepan tekanan daripada beberapa negara yang dipimpin Syiah.
“Arab Saudi tertarik dengan amalan Islam sederhana Malaysia, pendirian menentang Syiah, dan teladan Malaysia sebagai negara berbilang kaum,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui pandangan itu sekadar pendapatnya.
Kwan: Semua yang anda sebut tadi tidak dinyatakan oleh Raja Abdullah?
Jamil: Betul.
Kwan: Itu kata-kata anda sendiri?
Jamil: Ya.
Dalam pernyataan saksinya, Jamil mendakwa beliau ‘tahu’ Raja Abdullah menjanjikan dana kepada Najib bagi membantu mengekalkan kestabilan Malaysia sebagai negara Islam sederhana.
Beliau turut menyatakan sumbangan itu bertujuan membendung pengaruh kumpulan Syiah dan pelampau yang didakwanya mula berkembang di Malaysia.
Ditanya sama ada pihak lain mengesahkan derma yang didakwa itu selepas pertemuan pada 2010, Jamil berkata, perkara itu di luar pengetahuannya.
Najib, 72, dipenjara sejak 23 Ogos 2022 berikutan sabitan menyeleweng dana SRC sebanyak RM42 juta. Dia dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Pada 29 Jan 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memendekkan separuh hukuman penjaranya dan mengurangkan denda kepada RM50 juta.
Pada 26 Dis tahun lepas, Hakim Collin Lawrence Sequerah, kini Hakim Mahkamah Persekutuan, menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.387 bilion terhadap Najib selepas dia didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam kes rasuah 1MDB. Hukuman penjara itu diperintahkan berjalan sebaik sahaja dia selesai menjalani hukuman sekarang.
Najib diwakili oleh Shafee Abdullah dan Farhan Shafee.
Prosiding di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan akan bersambung pada 2 Mac depan.