PAS: RUU 355 dipinda sebelum dibentangkan Hadi esok

PAS: RUU 355 dipinda sebelum dibentangkan Hadi esok

Ketua penerangan dewan ulama PAS itu berkata, usul RUU itu yang dijangka dibentang esok mengandungi pindaan terhadap had hukuman yang boleh dikenakan di bawah akta terbabit kelak.

khairuddin-pas-1
KUALA LUMPUR:
Usul rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 akan dipinda sedikit sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, usul RUU itu yang dijangka dibentang esok mengandungi pindaan terhadap had hukuman yang boleh dikenakan di bawah akta itu kelak.

“Akan ada pindaan menentukan had berapa hukuman dan sebagainya. Tapi esok baru tahu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Khairuddin yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, pindaan itu dibuat hasil daripada perjumpaan dan taklimat khas berkaitan RUU itu bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di bangunan Parlimen, semalam.

Katanya, usul pindaan itu akan dibentang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Terdahulu, pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2016, beberapa ahli Parlimen pembangkang cuba membangkitkan beberapa isu mengenai usul yang dibawakan Hadi.

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyatakan perkara tersebut akan dibincangkan esok.

Usul RUU 355 itu dibentangkan Hadi pada 26 Mei lalu dan sepatutnya dibentang serta dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Pada mesyuarat hari ini, usul itu berada di nombor 15 dalam aturan urusan mesyuarat dan usul-usul Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat serta dilaporkan akan dibentangkan esok yang merupakan hari terakhir persidangan tahun ini.

RUU itu antara lain bagi meminda Seksyen 2 untuk menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada, iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas umat Islam dan dalam kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A, iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman dibenarkan undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen disebutkan, selain hukuman mati.

Akta RUU 355 dibentangkan minggu ini, kata TPM

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.