
AFP melaporkan tunjuk perasaan itu menyaksikan warga Korea daripada pelbagai latar belakang, termasuk pelajar sekolah menengah, agamawan, buruh dan petani, pesara dan pasangan baru berkahwin membanjiri Seoul dengan laungan mendesak Park supaya berundur.
Polis menganggarkan 260,000 turun berdemo, manakala penganjur berkata 1 juta orang tampil menyertai tunjuk perasaan minggu ketiga membantah skandal korupsi yang membelit Geun-Hye.
Polis mengerahkan 25,000 anggota, sebahagian besar dilengkapi kelengkapan anti-rusuhan, sementara bas dan lori polis menghalang semua laluan masuk menuju Rumah Biru – kediaman rasmi presiden.
Di waktu malam, penunjuk perasaan yang berarak di lebuh Gwanghwamun kelihatan seperti arus nyalaan lilin. Mereka berarak sambil mengusung keranda khusus untuk Park Geun-Hye.
Skandal yang membelit Geun-Hye sejak 3 minggu lalu berligar sekitar kawan rapatnya, Choi Soon-Sil yang ditahan atas dakwaan salahguna kuasa dan penipuan.
Pendakwaraya sedang menyiasat Soon-Sil yang didakwa menggunakan hubungannya dengan presiden untuk mengutip derma daripada syarikat-syarikat besar untuk yayasan yang ditubuhkan untuk kepentingan peribadi.
Soon-Sil juga dituduh mencampuri urusan kerajaan, walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi.
Laporan membongkar pengaruh Soon-Sil ke atas Geun-Hye menyaksikan sokongan rakyat terhadap presiden itu turun ke paras 5% sahaja – yang terendah dalam sejarah presiden Korea Selatan yang sedang berkhidmat.
Tunjuk perasan semalam menjadi titik pertemuan pelbagai isu rakyat, daripada kejatuhan harga beras hingga isu pengendalian bencana feri Sewol pada 2014.
Dalam usaha menenangkan kemarahan orang ramai, Geun-Hye membuat beberapa permohonan maaf dan merombak para pegawai kanan dan bersetuju melepaskan beberapa kuasa eksekutif yang ada padanya.
Pembangkang umumnya tidak mendesak Geun-Hye meletak jawatan, sebaliknya cuba mendesak presiden menurunkan kuasa kepada legislatif.