Label rumah ibadat ‘haram’ tindakan simplistik berhubung isu kompleks, kata G25

Label rumah ibadat ‘haram’ tindakan simplistik berhubung isu kompleks, kata G25

Kumpulan reformasi kata isu rumah ibadat perlu libat urus yang teliti dan sensitif pada konteks.

Gabungan persatuan yang diketuai oleh penceramah, Zamri Vinoth, merancang untuk berhimpun malam ini.
PETALING JAYA:
Melabelkan rumah ibadat, seperti kuil, sebagai ‘haram’ secara berulang kali adalah satu tindakan yang terlalu simplistik berhubung isu kompleks melibatkan sejarah, pemilikan tanah, dan pentadbiran kerajaan, menurut kumpulan reformasi, G25.

Dalam kenyataan menjelang perhimpunan menentang rumah ibadat ‘haram’ malam ini, G25 berkata isu tersebut jauh lebih mendalam berbanding apa yang digambarkan oleh individu dan kumpulan yang mendesak perhimpunan jalanan.

“Kumpulan masyarakat sivil, termasuk organisasi hak asasi, menekankan keperluan libat urus yang teliti dan sensitif pada konteks, mengenai status undang-undang rumah ibadat. Mereka menyatakan banyak kuil bersejarah diasaskan oleh komuniti ladang, dan pembingkaian simplistik tentang perkara ini boleh mencetuskan salah faham dan ketegangan,” kata mereka.

G25 mengingatkan bahawa pembingkaian simplistik boleh memburukkan salah faham dan ketegangan, sekali gus mengalih perhatian daripada penyelesaian yang sah, inklusif, dan praktikal.

“Dengan kenyataan mengenai perhimpunan yang dirancang itu kedengaran semakin konfrontasi, situasi boleh merosot dengan mudah dan mewujudkan kebimbangan dalam kalangan kaum.

“Malaysia tidak boleh menanggung risiko akibat menghasut perasaan perkauman, memandangkan insiden buruk masa lalu yang masih segar dalam ingatan kita,” katanya.

Perhimpunan di sekitar pusat beli-belah Sogo malam ini, dianjurkan oleh gabungan persatuan yang diketuai oleh penceramah, Zamri Vinoth, bertujuan untuk mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang didakwa ‘haram’.

Polis tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan susulan risikan keselamatan, dan menasihatkan orang ramai tidak menyertainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.