Rombongan Baju Merah berhimpun di yayasan Dr Mahathir

Rombongan Baju Merah berhimpun di yayasan Dr Mahathir

Jurucakap gerakan itu berkata mereka terima jemputan melalui WhatsApp untuk menghadiri satu mesyuarat tertutup

baju-merah-1
PUTRAJAYA:
Sekumpulan 50 Baju Merah berhimpun hari ini di luar perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana milik Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas menerima jemputan ke suatu mesyuarat tertutup hari ini.

Mereka berhimpun hampir 1 jam hanya untuk diberitahu mereka tidak boleh masuk ke perkarangan yayasan itu, yang dikawal kira-kira 12 anggota polis.

Rombongan mendakwa dijemput ke suatu mesyuarat yang diadakan di yayasan itu. Pemimpin mereka, Datuk Jamal Md Yunos, yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar tidak kelihatan.

“Kami disini bagi pihak Jamal, bukan untuk melancar perang atau melakukan sesautu yang salah kerana Baju Merah sentiasa mengikut undang-undang dan Perlembagaan,” kata Ketua Penerangan Ariffin Abu Bakar.

“Kami terima jemputan melalui WhatsApp, yang berkata semua NGO dialu-alukan untuk menghadiri mesyuarat yang katanya untuk menggulingkan kerajaan.

“Jadi kami mahu dengar penjelasan Dr Mahathir, dan beritahu beliau supaya berlawan secara demokratik.”

Beliau menambah cara Baju Merah mengendalikan keadaan petang itu membuktikan mereka bukan pertubuhan “samseng” seperti yang didakwa.

Mesej WhatsApp itu kononnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tetapi menurut Ariffin, pihaknya tidak terima jemputan itu secara terus daripada parti itu.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) PPBM Abu Bakar Yahya menjelaskan kekeliruan yang berlaku, dengan berkata mesyuarat itu hanya untuk sukarelawan parti daripada Kelantan dan Terengganu.

“Saya tak tahu macam mana mesej itu boleh jadi viral, tapi saya lega ia diselesaikan secara aman. Jamal kawan lama, tetapi jemputan itu bukan untuk semua NGO,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.