
Dalam satu kenyataan hari ini, Kompleks Bukit Jambul JMB berkata berdasarkan siasatan dalaman mereka, abang kepada mangsa memasukkan tangkai belon ke bahagian bawah eskalator.
“Ketika hampir sampai ke tingkat 1, kanak-kanak lelaki itu tersandung di eskalator dan jarinya tersangkut.
“Ibunya cuba memegang anak lelakinya tetapi terjatuh ke belakang. Selepas melihat kejadian itu, bapa itu (yang mendukung mangsa di atas bahunya) panik ketika cuba membantu isteri dan anak lelakinya.
“Nampaknya dia terlupa yang anak perempuannya berada di atas bahu, menyebabkan kanak-kanak itu terjatuh. Kanak-kanak lelaki itu kemudian berjaya meloloskan jarinya,” kata kenyataan itu.
KBJ berkata kanak-kanak perempuan itu pada mulanya terbaring tidak sedar tanpa denyutan jantung tetapi berjaya dibantu seorang doktor yang kebetulan berada di situ.
Menurut kenyataan itu, ketika melawat mangsa di Hospital Pulau Pinang, kanak-kanak itu berada dalam keadaan stabil.
“Keselamatan anak sepatutnya menjadi keutamaan semua ibu bapa. KBJ menasihatkan semua pengunjung terutama mereka yang datang bersama keluarga mematuhi peraturan menggunakan eskalator,” katanya.
Mangsa disahkan mengalami pendarahan otak dan keretakan di bahagian kepala.
Seorang netizen, Yuana Che Ariff mendakwa menyaksikan kejadian itu kerana berdiri di belakang keluarga berkenaan dan berkongsi di Facebooknya.
“Saya berdiri betul-betul di belakang keluarga itu. Ia bermula ketika anak lelaki pasangan itu jatuh di sudut eskalator. Jarinya tersekat di pemegang. Ibunya cuba mengeluarkan jarinya.
“Kemudian bapanya mahu memeriksa kecederaan pada anak lelakinya. Mungkin dia lupa anak perempuannya ada di atas bahunya. Dia menunduk untuk lihat kecederaan itu, menyebabkan budak itu jatuh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Utara ASP Mior Faridalatrash Wahid berkata polis akan menyiasat maklumat dalam posting itu.
“Kami sedang cuba mengenal pasti kejadian sebenar dan menyiasatnya,” katanya.
Bapa kanak-kanak itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana menyebabkan kanak-kanak itu terdedah kepada kecederaan fizikal.
Pada Jun tahun lalu, seorang kanak-kanak 15 bulan hilang tangannya selepas tersangkut di eskalator. Dia dilaporkan bermain berhampiran eskalator ketika kejadian itu berlaku.
Kira-kira 3,000 eskalator dan lif di Kuala Lumpur dan Putrajaya dianggap tidak sesuai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) pada 2014 kerana tidak memenuhi syarat keselamatan.
Menurut jabatan itu, terdapat 111 kemalangan berkaitan kerosakan lif dan eskalator sejak 2010, dengan 11 daripadanya membabitkan kematian.
Ketua Pengarah DOSH Mohtar Musri berkata 97% kemalangan di eskalator membabitkan kanak-kanak, dari tempoh 2011 hingga Mei 2015.