SPRM tahan Datuk Seri terlibat kes palsu dokumen

SPRM tahan Datuk Seri terlibat kes palsu dokumen

Datuk Seri dan seorang pembantunya ditahan kerana dipercayai terlibat dalam memalsukan dokumen bagi memudahkan urusan tuntutan harta sekiranya berlaku sesuatu kematian.

macc-arrest
KUALA LUMPUR: Seorang individu bergelar Datuk Seri yang merupakan bekas pegawai khas kerabat Diraja Selangor dan orang kanannya ditahan atas dakwaan melakukan rasuah dan memalsukan dokumen.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri berumur lingkungan 50-an itu dan pembantunya yang berumur 40-an yang juga ahli perniagaan ditahan di ibu negara dan Seremban.

“Dalam serbuan pertama di sebuah pasar raya di ibu negara, pembantu kepada Datuk Seri itu ditahan pada 10 malam Isnin dan berdasarkan maklumat daripadanya, SPRM menahan pula Datuk Seri berkenaan di rumahnya di Seremban pada 11 pagi semalam,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua mereka dipercayai terlibat memalsukan dokumen bagi memudahkan urusan tuntutan harta sekiranya berlaku sesuatu kematian.

“Suspek dipercayai mengeluarkan surat atau watikah yang kononnya daripada kerabat diraja dan orang kenamaan untuk memudahkan sesuatu urusan yang melibatkan kerajaan.

“Jumlah suapan yang diminta untuk mempercepatkan proses itu adalah antara RM30,000 hingga RM125,000,” kata sumber itu.

Menurutnya, mereka dipercayai melakukan kegiatan itu sejak 4 tahun lalu dan siasatan setakat ini mendapati ia melibatkan 10 mangsa di sekitar Lembah Klang dan Seremban.

“Datuk Seri itu dipercayai tamat kontrak sebagai pegawai khas kerabat diraja sejak 2013,” katanya.

Dalam serbuan tersebut turut dirampas ialah wang tunai sebanyak RM142,500 yang disembunyikan termasuk di dalam bilik air rumah milik Datuk Seri berkenaan dan keretanya.

Katanya, kira-kira RM30,000 wang tunai pula dirampas daripada pembantu Datuk Seri itu.

“Beberapa dokumen yang digunakan untuk memperdaya mangsa turut ditemui berserta cop milik orang kenamaan termasuk pemimpin serta pihak kerabat,” katanya.

Kedua-duanya kini direman selama 5 hari bermula tarikh mereka ditahan untuk membantu siasatan.

Selain itu, sumber berkenaan berkata 2 penjawat awam berusia 20 hingga 50 tahun dipanggil hari ini untuk memberi keterangan manakala 5 saksi juga dipanggil untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda 5 kali ganda daripada nilai suapan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.