
Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu, Maria berkata, kenyataan Jamal itu adalah palsu, berniat jahat dan boleh merosakkan reputasinya di mata orang ramai.
“Kenyataannya mengelirukan orang ramai dan menimbulkan keresahan di kalangan mereka,” katanya dalam dokumen mahkamah yang difailkan firma guaman Daim & Gamany.
Maria berkata, Jamal tahu kenyataannya akan disiarkan media secara meluas.
Pengerusi Bersih 2.0 itu menuntut jumlah ganti rugi tidak ditentukan dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Selasa lalu, Maria menerusi surat peguamnya menuntut ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu memohon maaf atas dakwaannya pemantau pilihan raya itu diresapi pengganas IS.
Kelmarin, Jamal bertindak mengoyak surat tuntutan yang dihantar peguam Maria, membuangnya ke dalam tandas dan mengepamnya, selain berjanji akan terus “menyerang” Bersih 2.0.
Pada 28 September lalu, Jamal menuduh Bersih 2.0 diresapi pengganas dan himpunan pada 19 November ini bertujuan mengepung lokasi strategik, seperti lapangan terbang untuk mengguling kerajaan.
Minggu lalu, Bersih 2.0 memulakan konvoi serentak di Kota Bharu, Lumut, Arau, Johor Bahru, Sandakan dan Miri, menjelang perhimpunan di Kuala Lumpur pada bulan depan.
Pautan: