
Ahli Majlis Syura Ulama PAS Datuk Dr Kahiruddin Aman Razali berkata isu pelantikan Daeng bagi jawatan berkenaan tidak timbul kerana parti Islam itu sudah mempunyai pemangku mursyidul am iaitu Datuk Ahmad Yaakob.
“Isu itu tidak timbul dan tidak berbangkit sebab kita sudah ada pemangku mursyidul am,” katanya kepada FMT.
Ketua penerangan Ulama PAS itu bagaimanapun tidak menolak Daeng adalah calon yang akan dilantik bagi mengisi kekosongan Majlis Syura.
“Kita kekurangan seorang ahli Majlis Syura dan mungkin Dr Daeng Sanusi salah seorang calon yang akan mengisi kekosongan itu,” katanya.
Nama Daeng semakin popular untuk dilantik sebagai mursyidul am PAS menggantikan Haron yang meninggal dunia di Amerika Syarikat baru-baru ini apabila Ahmad yang disebut akan mengisi kekosongan itu menolak jawatan berkenaan.
Majlis Syura yang terdiri daripada 17 ahli merupakan badan tertinggi PAS dalam menentukan undang-undang dan perlembagaan parti termasuk melantik mursyidul am.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu tidak melihat sebarang keperluan terdesak dalam melantik mursyidul am.
Pautan:
Ahmad tolak jawatan bukan perkara baru, Nik Aziz, Haron Din juga pernah tolak