Mursyidul am PAS di ICU selepas prosedur pasang sten

Mursyidul am PAS di ICU selepas prosedur pasang sten

Anak bongsu Hashim Jasin berkata keadaan jantung bapanya semakin lemah, selain mempunyai komplikasi kesihatan lain.

Mursyidul Am Pas Hashim Jasin
Anak bongsu kepada Mursyidul Am PAS Hashim Jasin memaklumkan tiada pelawat dibenarkan buat masa ini atas nasihat doktor kerana keadaan bapanya sangat tidak stabil.
GEORGE TOWN:
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini selepas menjalani prosedur pemasangan sten.

Anak bongsunya, Husna berkata, bapanya dipindahkan ke HPP empat hari lalu dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Perlis bagi menjalani prosedur pemasangan sten pada arteri paha susulan kecederaan di bahagian itu.

“Prosedur itu berjaya dilaksanakan dan abah (Hashim) kini dipantau rapi di ICU berikutan keadaan jantung semakin lemah, selain komplikasi kesihatan lain. Alhamdulillah, prosedur sudah berjaya, namun keadaan masih tidak stabil dan menerima rawatan.

“Saya mewakili keluarga memohon maaf kerana tidak dapat membenarkan sebarang ziarah buat masa ini atas nasihat doktor memandangkan keadaan abah sangat tidak stabil,” katanya menerusi video di TikTok.

Hashim, 87, dilantik mursyidul am PAS keempat pada 10 Okt 2016 oleh Majlis Syura Ulama parti itu susulan pemergian Allahyarham Haron Din pada 16 Sept tahun sama.

Husna berkata, bapanya dimasukkan ke HTF 7 Feb lalu selepas mengalami keuzuran sejurus pulang daripada beberapa mesyuarat dan program di Kuala Lumpur.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, hasil pemeriksaan mendapati bapanya mengalami serangan jantung dan fungsinya pada tahap kira-kira 35%, bagaimanapun prosedur angiogram tidak dapat dilakukan segera berikutan keadaan jantung terlalu lemah dan berisiko tinggi.

Selain itu, Hashim turut mengalami komplikasi buah pinggang, masalah paru-paru dan hati, malah bacaan kreatinin melebihi 400 dan paras urea tinggi menyebabkan lemah serta mengantuk, sekali gus memerlukan rawatan dialisis ringan selepas keadaan stabil.

“Ketika persiapan untuk dialisis dibuat, berlaku kecederaan pada bahagian arteri di paha yang memerlukan pemasangan sten menyebabkan abah dipindahkan ke HPP dan menjalani dialisis ringan selama tiga jam setiap sesi, selain menerima rawatan antibiotik berikutan jangkitan kuman pada paru-paru.”

Menurutnya, prosedur angiogram belum dapat dilaksanakan kerana dikhuatiri memberi tekanan tambahan kepada jantung lemah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.