Johor mempergiat sasaran bebas dadah menjelang 2018

Johor mempergiat sasaran bebas dadah menjelang 2018

Salah satu daripada usaha berterusan yang diambil adalah mewajibkan kakitangan kerajaan negeri menjalani ujian saringan air kencing.

Datuk-Ayub-Rahmat
JOHOR BAHRU:
Kerajaan negeri yakin mampu mencapai sasaran ‘Johor Bebas Dadah 2018’ dan akan terus mempergiatkan usaha merealisasikan hasrat tersebut dengan menumpukan usaha kepada golongan belia.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata program yang dilancarkan pada pertengahan tahun lalu mendapat reaksi positif pelbagai pihak.

“Kami meletakkan sasaran ini sejak 2015 dan sejak itu mempergiat usaha untuk mencapainya dan satu daripada usaha berterusannya adalah mewajibkan kakitangan kerajaan negeri menjalani ujian saringan air kencing,” kata Ayub.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Meningkatkan Integriti (EIP) di Dewan Al-Hamra Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam tadi.

Menurut Ayub, memandangkan pencegahan perlu dimulakan di peringkat awal, pemeriksaan juga akan diperluaskan kepada golongan belia terutamanya golongan pelajar sekolah menengah dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

Ayub berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menjalankan pemeriksaan air kencing di 2 peringkat pendidikan iaitu sekolah menengah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) bermula awal tahun ini sehingga bulan Ogos lalu.

“Kami melawat 31 IPT dan menjalankan ujian air kencing kepada 1,337 pelajar dan daripada jumlah tersebut, 33 orang didapati positif dadah.

“Bagi sekolah menengah pula, kami melawat 132 sekolah dan memeriksa 3,588 pelajar yang 84 daripada mereka didapati positif dadah.

Tambah beliau, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan terhadap pekerja di pelabuhan, pemandu jalan raya dan pusat-pusat hiburan sekitar Johor Bahru melibatkan pemeriksaan ujian air kencing terhadap 2,384 individu.

Daripada jumlah tersebut, katanya 719 individu didapati positif dadah.

Program EIP yang bertemakan ‘Ada Integriti Tiada Dadah’ itu dihadiri lebih 200 kakitangan kerajaan, swasta dan pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.