
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, unit tersebut perlu melapor terus kepada pihak luar dan bukannya kepada pentadbiran dalaman semata-mata bagi menjamin ketelusan.
Jais berkata, pihaknya menyambut baik langkah Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir menyemak semula sistem dan memperketat SOP universiti, namun keberkesanannya bergantung kepada pelaksanaan yang tegas dan bebas campur tangan.
“Secara prinsip, penambahbaikan SOP mampu mengurangkan risiko rasuah dengan menutup ruang budi bicara melampau dalam proses perolehan, kemasukan pelajar, serta pelantikan jawatan akademik.
“Namun, SOP sahaja tidak mencukupi. Risiko rasuah di IPT sering berpunca daripada budaya organisasi yang lemah dan sikap kompromi terhadap salah laku,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Zambry dilaporkan berkata, kementerian itu sedang menyemak semula SOP universiti bagi memastikan pematuhan ketat terhadap garis panduan, terutama melibatkan urusan kewangan dan perolehan.
Langkah itu termasuk mengubah sistem jawatankuasa tertentu yang sebelum ini dipengerusikan oleh naib canselor bagi memastikan semak dan imbang yang lebih telus.
Mengulas lanjut, Jais turut turut mengesyorkan tiga langkah kritikal termasuk pemantauan digital dengan menggunakan teknologi seperti jejak audit dan e-perolehan yang telus.
“Selain itu, memberi perlindungan menyeluruh kepada pemberi maklumat serta menilai kepimpinan universiti berdasarkan tahap integriti, bukan hanya pencapaian akademik semata-mata,” katanya.
Jais menegaskan, pelantikan pegawai berpengalaman termasuk dari latar belakang penguatkuasaan ialah satu langkah positif, tetapi mereka mesti diberi kuasa dan kebebasan secukupnya untuk bertindak.
“Tanpa penguatkuasaan tegas dan perubahan budaya, SOP berisiko menjadi sekadar dokumen, bukannya instrumen pencegahan rasuah yang sebenar,” katanya.