
Ia dipercayai berkaitan siasatan ke atas dakwaan salah guna kuasa seorang pegawai kanan Tourism Malaysia.
Bagaimanapun, ketika FMT berkunjung di pejabatnya di Putrajaya, jurucakap bertugas tidak menamakan pegawai terlibat atau memperincikan siasatan.
“Mereka dipanggil tengah hari tadi. Tujuannya tidak diperincikan,” katanya.
Ketika dihubungi, Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz berkata beliau tidak tahu mengenai tindakan SPRM itu, tetapi berjanji pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.
“SPRM perlu dibenar menjalankan tugas mereka. Saya tidak boleh berbuat apa kerana perlu membenarkan siasatan SPRM diteruskan,” kata Nazri.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan seorang ‘Datuk Seri’, sekitar umur 50-an disiasat kerana salah guna kuasa.
Menurut sumber kepada FMT, ‘Datuk Seri’ terbabit merupakan pegawai kanan di Bahagian Pengiklanan, dan disiasat kerana memberikan urusan pembelian tiket penerbangan kepada syarikat milik ahli keluarga.
FMT difahamkan sejumlah RM100,000 terbabit dalam urusan itu.
Awal tahun ini, seorang bekas pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan ditahan SPRM berhubung kes rasuah RM100 juta.
Bekas pegawai terbabit, Othman Arshad, ditahan semula kerana disyaki terbabit dalam pengubahan wang lebih RM17 juta.