
Beliau membuat pengumuman itu dalam majlis khusus ‘makan malam ambang merdeka bersama Husam Musa’ anjuran Amanah Putrajaya di Cyberjaya malam tadi.
“Saya berdiri di sini dengan nama Allah, bertawakal, saya serahkan diri pada perjuangan Amanah.
“Saya telah tandatangan borang permohonan (menyertai) Amanah” kata Adun Salor itu.
Pada 6 Mei lalu, PAS mengambil keputusan memecat Husam atas sebab melanggar Perlembagaan PAS, ekoran kritikan lantangnya terhadap parti dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang terutama berhubung dakwaan kerjasama parti itu dengan Umno.
Selama 4 bulan beliau hanya membisu berhubung parti yang bakal disertainya, walaupun pernah membantu kempen Amanah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar yang lalu.
Bekas Exco kanan kerajaan Kelantan itu sekali lagi mempersoalkan keputusan parti lama yang memecatnya hanya kerana memberikan teguran.
“PAS telah pecat saya dan saudara kena tahu saya tidak pernah minta untuk dipecat…Islam benarkan kita untuk menegur,” katanya.
Antara yang hadir dalam majlis itu ialah Presiden Amanah Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Salahuddin Ayub, Pengarah Strategi Dr Dzulkefly Ahmad dan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok.